GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pulau Pinang mahu peruntukan oleh kerajaan negeri diberikan tanpa sebarang diskriminasi.
Zulkefli Bakar (Bersatu-Penanti) berkata, perkara itu amat penting demi kemajuan negeri yang mana pengagihan dari segi kewangan dan peluang yang diberikan harus sama rata dan adil kepada semua ADUN.
“Peruntukan yang diberikan wajar dibuat tanpa sebarang diskriminasi, pengagihan dari segi kewangan dan peluang yang diberikan haruslah sama rata dan adil kepada semua Ahli yang berhormat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengekalkan peruntukan kepada (ADUN) pembangkang sebanyak RM60,000 setahun manakala wakil kerajaan pula menerima RM500,000 setahun.
Dalam isu lain, Zulkefli turut membangkitkan mengenai sekatan ke atas penceramah agama bebas yang didakwa dilakukan tanpa dimaklumkan sebab yang kukuh.
”Sekatan yang dibuat terhadap penceramah bebas haruslah dilonggarkan.
”Penceramah-penceramah telah pun memaklumkan di negeri-negeri lain mereka tidak menghadapi masalah yang sama seperti di Pulau Pinang,” katanya.
Tambah beliau, perkara itu amat sensitif dan harus dipertimbangkan dengan sangat teliti sebelum melakukan apa-apa sekatan kerana akan menimbulkan kemarahan rakyat. – UTUSAN