SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari perlu menilai semula jumlah peruntukan yang hendak dibelanjakan dalam Belanjawan Selangor 2024 supaya tidak memerlukan kerajaan negeri terpaksa membentang Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan.
Ini kerana, jumlah RM2.53 bilion diperuntukan itu didakwa jauh lebih kecil berbanding lebih RM3 bilion diperuntukkan pada 2016 hingga 2018 walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu meletakkan perbelanjaan mengurus lebih tinggi iaitu 52.6 peratus berbanding pembangunan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri perlu merencana belanjawan tahun hadapan secara bertanggungjawab supaya tidak memerlukan pembentangan perbekalan tambahan pada tahun hadapan.
“Saya mendapati sudah ada RUU perbekalan tambahan untuk tahun 2023 di atas meja kami untuk memohon sejumlah RM125 juta bagi perbelanjaan untuk perkhidmatan tahun lalu 2023 yang tidak diperuntukkan dalam Bajet 2023 yang berjumlah RM2.38 bilion.
“Ini akan menjadikan bajet tahun 2023 meningkat kepada RM2.66 bilion dan ia lebih tinggi daripada bajet 2024.
“Dewan ini meluluskan bajet negeri lebih besar iaitu pada 2017 dengan jumlah RM3.45 bilion dan bajet 2018 berjumlah RM3.12 bilion. Rizab negeri pada Oktober 2016 merekodkan sejumlah RM3.62 bilion dan RM3.26 bilion pada 31 Disember 2015,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan Selangor 2024 dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023, hari ini.
Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan Selangor memperuntukkan dalam perbekalannya bagi 2024 sebanyak RM2.53 bilion meningkat 3.2 peratus berbanding belanjawan tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diperuntukan bagi perbelanjaan mengurus termasuk bayaran emolumen kepada kakitangan awam berjumlah RM480 juta, sementara pembangunan pula sebanyak RM1.2 bilion.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang, bagaimanapun menyifatkan kerajaan negeri bersifat jujur dan menunjukkan disiplin fiskal dalam membentangkan belanjawan defisit.
“Alhamdulillah pada Oktober 2016 kedudukan kewangan negeri berada pada tahap lebihan sebanyak RM351 juta. Untuk tahun sebelumnya belanjawan 2015, saya membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM453 juta tetapi pada 31 Disember 2015, kerajaan negeri mencatatkan surplus sebanyak RM233 juta.
“Ketika membentangkan belanjawan 2017, kita menjangkakan mengalami defisit berjumlah RM900 juta, tetapi pada Oktober 2017 prestasi kewangan negeri mencatatkan lebihan semasa berjumlah RM178 juta dan menyumbang kepada kenaikan rizab negeri kepada RM3.24 bilion,” jelasnya. – UTUSAN