SHAH ALAM: Isu penyerahan tanah kepada Berjaya Land Sdn Bhd (Berjaya Land) melalui Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) sebanyak 242.8 hektar bagi tujuan pembangunan Sungai Klang Maritim Gateway (SMG) dipertikaikan apabila berlaku pemindahan pemilikan syarikat tersebut sebanyak 55 peratus pegangan sebelum itu.
Malah, perkara itu terus dibangkitkan apabila terdapat permohonan tambahan 40.5 hektar (100 ekar) tanah di daerah Dengkil dibuat oleh Berjaya Land melalui surat bertarikh 13 Julai 2022.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu tersebut terus mencetuskan persoalan berikutnya berkenaan keupayaan LLBSB yang sebelum itu dikenali sebagai Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) untuk melaksanakan projek SMG.
Menurutnya, Amirudin Shari dikatakan pernah buat kenyataan Berjaya Land akan menanggung keseluruhan kos pembangunan 242.4 hektar tanah kerajaan negeri.
“Jelas pembiayaan projek ini bukan dibiayai oleh Berjaya Land Berhad seperti dinyatakan oleh Menteri Besar, tetapi LLSB juga yang dimiliki oleh MBI terpaksa menampung pembiyaan untuk projek ini selaras dengan klausa 4.2 dalam subscription and shareholders agreement (SSA),” katanya ketika membahaskan membahaskan Belanjawan Selangor 2024 dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023, hari ini.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu turut mendakwa, semua tanah kerajaan negeri yang terlibat dalam projek ini tidak dikenakan pembayaran premium yang menyebabkan Selangor kehilangan hasil sebanyak RM171 juta.
“Rakyat Selangor tidak dimaklumkan berapakah nilai tanah 600 ekar yang diberikan kepada LLBSB dan menjadi aset utama untuk menjana unjuran pulangan atau GDV bernilai RM10 bilion dalam tempoh lapan tahun,” jelasnya.
Beliau dalam dewan menjelaskan LLSB sebelum ini dilantik untuk menjalankan projek SMG sepanjang 56 kilometer serta pembersihan Sungai Klang dengan pinjaman daripada kerajaan negeri sebanyak RM45 juta.
Bagaimanapun syarikat tersebut didakwa berdepan masalah kewangan sehingga memaksa pegangannya daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dilepaskan kepada Berjaya Land sebanyak 55 peratus dan menjadi LLBSB.
Oleh demikian, tindakan kerajaan negeri membenarkan pemilikan oleh pihak luar itu dipertikaikan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dikatakan mengunjurkan nilai pulangan projek tersebut sebanyak RM10 bilion dalam tempoh lapan tahun.
Justeru, Mohamed Azmin seterusnya mendakwa akibat daripada penyerahan pemilikan tersebut, kerajaan negeri dijangka cuma menerima pulangan RM4.5 bilion berbanding RM5.5 bakal dimiliki Berjaya Land.
“Apakah logiknya apabila kerajaan negeri akan kehilangan pendapatan sebanyak RM5.5 bilion semata-mata ingin memungut hutang LLSB sebanyak RM45 juta?
“Jadi saya hendak tanya kepada Menteri Besar kenapa tak beri kepada Worldwide Holdings Berhad, PKNS untuk membangunkan tanah-tanah kerajaan di sepanjang Sungai Klang?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau dalam perbahasan tersebut mengatakan kerajaan negeri didakwa melutut kepada tauke judi untuk menyelamatkan LLSB yang kemudian menjadi Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB).
“LLSB Sakit sebab itu kerajaan negeri terpaksa melutut kepada tauke judi, terpaksa melutut kepada Berjaya Land, mengapa terdapat rekod kewangan menunjukkan gaji pengarah urusan dinaikkan daripada RM29,000 kepada RM37,000 sebulan. RM37,000 sebulan.
“RM37,000, mengapa pembayaran bonus berjumlah empat bulan, kalau syarikat ini tenat, sakit, mengapa bonus empat bulan. Kenapa kenaikan gaji tahunan sebanyak enam peratus setahun, mengapa pengarah syarikat menerima elaun sebanyak RM10,000,” jelasnya.
Terdahulu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berdepan tindakan undang-undang oleh taikun perniagaan, Tan Sri Vincent Tan apabila didakwa menfitnahnya korup, kroni kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan telah memperoleh tanah seluas 600 ekar (242.8 hektar) secara percuma. – UTUSAN