ALOR SETAR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini secara sebulat suara meluluskan usul mengecam kekejaman, kezaliman serta keganasan rejim zionis Israel terhadap bumi Gaza.
Usul tersebut dibentangkan Shahrir Long (PN-Pantai Merdeka) dan disokong Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) sebelum dipersetujui kesemua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk barisan pembangkang.
Menurut Shahrir, Palestin seharusnya diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat serta merdeka dan hak utama rakyatnya berkaitan hak kendiri perlu ditegakkan.
“Penyelesaian secara ‘two state solution’ tidak boleh diterima dan itu merupakan rencana pihak tertentu untuk mengiktiraf negara haram Israel selain mengecilkan serta menghilangkan hak rakyat Palestin terhadap negara mereka.
“Kerajaan Persekutuan juga digesa agar terus konsisten membawa suara umat Islam Palestin ke ruang diplomasi di peringkat antarabangsa dan DUN Kedah mendukung gelombang kesedaran awam yang berterusan kepada rakyat di negeri ini.
“Penganjuran solat hajat, doa munajat, sumbangan derma dan himpunan bantahan terhadap kezaliman zionis dan solidariti untuk Palestin diteruskan,” katanya.
Sementara itu Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN-Kota Siputeh) ketika membahaskan usul tersebut berkata, tindakan rejim zionis terhadap rakyat Palestin adalah satu bentuk jenayah kemanusiaan berbentuk pembersihan etnik.
Katanya, dunia Islam secara keseluruhannya perlu sedar daripada lamunan dan menyedari percaturan blok barat terhadap apa yang berlaku di Asia Barat.
“Selaku negara berdaulat, sebarang bentuk kontrak kepada syarikat Israel atau syarikat yang menyokong Israel perlu dihentikan segera bagi menghukum kekejaman dilakukan mereka terhadap Palestin.
“Adalah penting untuk kesatuan negara-negara Islam meneroka strategi bagi mengukuhkan ekonomi sesama mereka sebagai persediaan menghadapi tindakan balas blok barat, berikutan pendirian tegas negara-negara Islam ini terhadap Israel,” katanya.
Dalam pada itu Ketua Pembangkang, Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) berkata, pemimpin dunia termasuk organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya meningkatkan usaha mendesak Israel segera menghentikan siri serangan tidak masuk akal terhadap rakyat Palestin.
“Selain pengeboman terhadap hospital, rejim zionis turut mengebom sekolah-sekolah serta kem pelarian dan ini jelas boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang. Bagi rakyat Malaysia, kita semua perlu mengambil satu langkah proaktif untuk bersatu mengutuk kekejaman Israel di Gaza tanpa mengira warna kulit, agama, mahu pun pegangan politik,” katanya. –UTUSAN