Sidang DUN: JKM warta 1,152 PPS untuk berdepan MTL - Utusan Malaysia

Sidang DUN: JKM warta 1,152 PPS untuk berdepan MTL

PPS
MOHD. Najwan Halimi berucap pada Sidang DUN Selangor dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 1,152 pusat pemindahan sementara (PPS) diwartakan sebagai persediaan berdepan musim Monsun Timur Laut (MTL) untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir.

Kesemua PPS itu diwartakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan tindakan menyelamat dan pemindahan dapat dilakukan susulan MTL yang dijangka berlaku sehingga Mac tahun depan.

Exco Belia, Sukan, Keusahawanan dan Pengurusan Bencana, Mohd. Najwan Halimi berkata persediaan PPS berkenaan merangkumi pematuhan kepada garis panduan serta pengendalian mangsa yang mempunyai masalah kesihatan.

“Bekalan keperluan asas juga dipastikan dalam keadaan baik dan mencukupi. Semua aset seperti pam air serta stesen-stesen penting antaranya telemetri, amaran, sukatan luahan, curahan hujan, paras air dan kamera dipantau secara harian bagi memastikan baik dan bersedia.

“Agensi tertentu antaranya polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam turut diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga selain telah merangka pelan tindakan operasi semasa MTL. 

“Selain itu aset digunakan semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga ditempatkan di lokasi strategi seperti pangkalan hadapan,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya,  Ng Mei Sze (PH) dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2023.

Beliau menambah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan pegawai daerah bertanggungjawab menyelaras segala operasi bantuan.

“Pegawai daerah diarah melaksanakan mesyuarat persediaan dengan segera bagi memastikan perancangan awal berhubung urusan pemindahan dan menyelamat serta bekalan keperluan asas yang mencukupi,” jelasnya.

Pada Oktober, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 10,000 pek keperluan asas banjir disediakan dan jumlah itu lebih sekali ganda daripada jumlah mangsa 2021 berikutan bimbang sekiranya banjir kali ini melibatkan kawasan lebih luas.

Dalam pada itu, Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik memaklumkan, Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) sedang merancang pembangunan papan pemuka pengurusan bencana dan sumbangan barangan keperluan lebih komprehensif.

Katanya lagi, ia meliputi inventori aset dan stok bekalan bencana, PPS mangsa dan pemetaan lokasi bencana serta mobilisasi petugas serta sukarelawan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya