GEORGE TOWN: Ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus tahun lalu berbanding 6.9 peratus tahun sebelumnya dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM112.1 bilion.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, pertumbuhan itu melebihi pertumbuhan nasional iaitu 8.7 peratus.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar terhadap KDNK Pulau Pinang tahun lalu dengan 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan, mengekalkan pertumbuhan dua angka iaitu 15.9 peratus.
“Pada tahun 2021, sektor pembuatan telah menyumbang sebanyak 47.3 peratus dengan pertumbuhan sebanyak 12.4 peratus. Ini disokong oleh pembuatan produk elektrik, elektronik dan optikal,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan Lee Boon Heng (PKR-Kebun Bunga) mengenai pemulihan ekonomi Pulau Pinang selepas pasca pandemik Covid-19.
Tambah beliau, sektor perkhidmatan pula menyumbang sebanyak 46.7 peratus tahun lalu berbanding 47.5 peratus pada tahun sebelumnya yang mana turut mencatatkan pertumbuhan dua angka iaitu 11.3 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2021.
”Ini disokong dengan lonjakan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta utiliti, pengangkutan, maklumat dan komunikasi,” katanya.
Kon Yeow menambah, sektor pembinaan iaitu penyumbang ketiga tertinggi kepada ekonomi negeri ini terus kekal positif dengan pertumbuhan sebanyak 7.9 peratus.
“Sektor pertanian turut berkembang bagi tahun 2022 dengan pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus berbanding menguncup pada tahun sebelumnya (2021: -2.3 peratus),” katanya.
Selain itu, ujar beliau, sektor perlombongan dan pengkuarian memulih kepada 7.9 peratus berbanding penyusutan 6.6 peratus pada 2021.
”Secara keseluruhannya, ekonomi Pulau Pinang menyumbang sebanyak 7.4 peratus kepada ekonomi Malaysia.
“Sumbangan ini meningkat 0.3 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 7.1 peratus dan kekal di kedudukan kelima kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN