Sidang DUN: Batal projek pasir, teruskan pertanian untuk keterjaminan makanan - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Batal projek pasir, teruskan pertanian untuk keterjaminan makanan

Projek pasir
NURUL Syazwani Noh membahaskan Belanjawan Selangor 2024 pada Sidang DUN dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri digesa membatalkan kebenaran projek perlombongan pasir yang menyebabkan sekumpulan petani atas tanah seluas 1,719 hektar di Bestari Jaya, Kuala Selangor dihalau.

Meskipun perlombongan pasir tersebut pada akhirnya nanti bakal menjadi Pusat Takungan Air Hibrid Pinggiran Sungai (HORAS), namun projek tersebut menyebabkan industri pertanian dalam rantaian perbekalan makanan itu terhenti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh (PN) berkata, kerajaan negeri dikatakan lebih menghargai industri pasir berbanding perbekalan makanan yang berdepan krisis.

“Di sana wujud taman pertanian dipanggil agrotek yang turut menerima bantuan dan sokongan daripada Jabatan Pertanian. Ada sayuran seperti kacang panjang, bendi, peria betik jambu batu, cili, labu air dan sebagainya dengan potensi komersial sangat luar biasa.

“Tetapi tempat itu dijadikan rizab air HORAS petani tadi semua dihalau sehingga diugut bunuh oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kes ini mendapat liputan akhbar, polis dan tular dalam sosial media tanaman itu akan diratakan projek perlombongan pasir,” katanya dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Lebih 500 peneroka yang majoritinya warga emas mengusahakan sektor pertanian atas tapak seluas kira-kira 1,719 hektar di daerah ini gusar kehilangan sumber pendapatan mereka selepas tanah tersebut diambil semula kerajaan negeri.

Kesemua tanah melibatkan ribuan lot di Kampung Bestari Jaya, Raja Musa, Seri Makmor, Basfic Tin dan Taman Tennamaram diusahakan mereka lebih 40 tahun lalu bagi tanaman kelapa sawit, sayur-sayuran serta penternakan ikan dan ayam.

Dalam pada itu, Nurul Syazwani turut mempertikaikan belanjawan sebanyak RM2.53 bilion itu yang dikatakan tidak memberikan tumpuan kepada penternak-penternak di negeri ini.

“Hasrat Menteri Besar untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2 pada tahun 2024 mungkin tidak akan kesampaian.

“Tuan Speaker, belanjawan Selangor terlupa dan tidak langsung menyebut tentang penternak. Sedangkan kadar kebergantungan import daging kambing dan lembu negara kita adalah pada kadar yang tinggi sehingga lebih 85 peratus. 

“Jadi amatlah saya merasa sedih dan bimbang seandainya objektif belanjawan yang dibentangkan bakal menemui kegagalan kerana Menteri Besar tempoh hari mungkin sudah terlepas pandang tentang nasib dan ekonomi penternak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya