Sidang DUN: 95 peratus bekalan daging lembu, kambing diambil dari luar - Utusan Malaysia

Sidang DUN: 95 peratus bekalan daging lembu, kambing diambil dari luar

Daging lembu kambing
IZHAM Hashim menjawab pertanyaan berkenaan keterjaminan makanan di negeri ini di Sidang DUN Selangor dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Ke-15 Tahun 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekalan daging lembu dan kambing di Selangor dibawa masuk dari tempat lain dan luar negara pada kadar 95 peratus keperluan penduduknya apabila negeri ini hanya mampu membekalkan produk tersebut pada tahap lima peratus.

Antara faktor menyumbang kepada jurang besar itu apabila persaingan dalam penggunaan tanah antara sektor perkilangan dan perumahan berbanding pertanian berdasarkan kemampuan meraih pendapatan yang tinggi.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, sebagai contoh apabila sesuatu tanah pertanian berdepan kerugian, maka pengambilalihan akan berlaku bagi pembangunan perkilangan atau perumahan.

“Untuk makluman, kita perlu fahami Selangor tidak ada kemampuan untuk self-sufficient seratus peratus dalam semua perkara terhadap bekalan makanan, kerana negeri ini kita berurusan (selain) untuk menyediakan makanan atau pertanian, penggunaan tanah kita sentiasa berhadapan dengan kegunaan industri perkilangan.

“Apabila tanah itu rugi, akhirnya akan diambil alih oleh perumahan ataupun kilang. Sebab itu mengenal pasti tanah-tanah di bawah agensi kerajaan negeri dan sebagainya supaya pastikan tanah itu kekal sebagai tanah pertanian,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid (PH) berhubung keterjaminan makan dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Ke-15 Tahun 2023.

Jelas Izham yang juga ADUN Pandan Indah (PH) itu memberitahu, antara usaha dilakukan kerajaan negeri untuk meningkatkan pembekalan bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini termasuk melaksanakan pertanian bernilai tinggi.

“Kita dapati banyak pertanian di negara ini adalah…pembenihan dan baka. Untuk udang sebenarnya benih dan baka diambil dari Madagascar, jauh untuk udang harimau. Apabila berlaku pandemik, kita tidak boleh import, kita hanya mampu beli pada kadar murah di Thailand dengan kualiti yang rendah.

“Baka kambing yang terbaik iaitu Black Belly Barbados, kita tidak ada yang mengusahakan pembakaannya. Malah, bayam pun kita import dari Taiwan.

“Jadi Selangor akan menumpukan bahagian komponen penting iaitu aspek makanan dan kita lancarkan lima benih diusahakan kerajaan negeri iaitu jagung, melon dan betik, benih Selangor, milik Selangor, hak kita,” jelasnya.

Katanya lagi, Selangor turut bekerja sama dengan sebuah syarikat di Thailand bagi menghasilkan baka ayam baharu sebagai usaha untuk meningkatkan hasilnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya