Serbu sindiket arak, jumpa makmal dadah

Serbu sindiket arak, jumpa makmal dadah

KAMARUL Zaman Mamat melihat mesin memproses dadah jenis ekstasi yang dirampas dalam serbuan di Pasir Gudang di IPD Bandar Seri Alam, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket memproses dan mengedar dadah yang didalangi seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ terbongkar susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan arak di Kawasan Perindustrian Pasir Puteh, Pasir Gudang, dekat sini.

Dalam tiga serbuan termasuk dua di Johor Bahru, polis merekodkan rampasan terbesar melibatkan dadah, sitaan dan arak tanpa cukai berjumlah RM10.378 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 46 tahun itu ditahan bersama-sama empat lagi suspek termasuk dua warga asing yang berusia antara 26 hingga 54 tahun.

Katanya, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am Batalion 5 Simpang Renggam melancarkan operasi khas dengan menyerbu sebuah kilang yang dijadikan tempat penyimpanan arak seludup dan lebih memeranjatkan turut dijadikan makmal memproses dadah.

“Dalam serbuan itu, tiga suspek ditahan bersama-sama rampasan 189,840 tin arak tanpa cukai kastam bernilai RM5.538 juta. Modus operandi digunakan ialah menyimpan arak dalam kontena sebelum dihantar mengikut pesanan di sekitar Johor Bahru.

“Pada masa sama, polis menemukan sebuah makmal yang dijadikan sebagai tempat memproses dadah jenis ekstasi. Polis merampas 22.84 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 2,230 biji pil ekstasi dan 182.9 liter cecair kimia dengan nilai keseluruhan RM1.798 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, semalam yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar.

Dalam serbuan sama, polis merampas mesin dan peralatan memproses dadah dan pelbagai jenis barang kemas, wang tunai mata wang asing dan 10 kenderaan dengan nilai keseluruhan lebih RM3 juta.

Kamarul Zaman berkata, susulan itu, polis melancarkan dua lagi serbuan hingga pukul 4 petang kelmarin di sekitar Johor Bahru dan menahan dua lelaki berusia 46 dan 54 tahun termasuk dalang sindiket tersebut yang merupakan ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’.

“Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan sebahagian kilang di kawasan itu sebagai tempat pemprosesan dan simpanan dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 6 (1)(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002); Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya