BESUT: Seorang daripada enam mangsa yang terselamat setelah tertimbus dalam kejadian runtuhan bangunan restoran setinggi tiga tingkat di Pulau Perhentian , Besut pada Khamis lalu meninggal dunia, hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Mohammad berkata, mangsa Bahul Jamil, 42, warga negara Indonesia meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains (USM) Kubang Kerian, Kelantan kira-kira pukul 2.14 pagi.
Katanya, sebelum ini mangsa yang ditemukan tertimbus dalam kejadian itu pada pukul 1.18 petang, Khamis lalu telah dibawa ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke HUSM.
“Punca kematian mangsa adalah Rhabdomyolysis iaitu akibat kecederaan otot yang sangat teruk akibat tersepit di bawah runtuhan bangunan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdul Rozak memberitahu, lima lagi mangsa masih menerima rawatan di Hospital Besut dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu .
“Kesemua mangsa tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” ujarnya..
Pada Khamis lalu, bangunan restoran tersebut di sebuah resort di pulau peranginan itu tiba-tiba runtuh pada pukul 4.30 pagi .
Runtuhan itu menimbus enam buruh binaan warga asing dan seorang buruh tempatan yang ketika itu sedang tidur di tapak pembinaan yang hampir siap itu.
Empat berjaya diselamatkan orang ramai manakala dua lagi dikeluarkan pasukan SAR pada pukul 12.50 tengah hari.
Sementara itu, mayat mangsa terakhir yang dikenali sebagai Suparno pula ditemukan oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 2.08 petang. – UTUSAN