Sentuhan 'emas' Akmal Rizal bantu Penang FC kejutkan Tok Gajah - Utusan Malaysia

Sentuhan ’emas’ Akmal Rizal bantu Penang FC kejutkan Tok Gajah

TONGGAK pertahanan SPFC, Mohamad Fadhli Mohd. Shas (kanan) cuba merantai pergerakan pemain Penang FC, Abdeen Abdul dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Langkah kanan buat bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila sentuhan pertamanya selaku pengendali sementara berjaya membawa Penang FC meraih kemenangan 3-2
ke atas Sri Pahang FC (SPFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, petang tadi.

Kemenangan itu merupakan yang pertama diraih oleh skuad Harimau Kumbang selepas hanya mampu memungut satu mata hasil satu keputusan seri dan enam kekalahan dalam tujuh perlawanan terakhir.

Menguasai 10 minit pertama permainan, tuan rumah hampir di depan seawal minit ke-9 menerusi Mohammad Khairul Akmal Rokisham.

Bagaimanapun, rembatan deras luar kotak penalti oleh pemain pertahanan itu sekadar menggegar tiang gol pelawat.

Enam minit berselang, ayam tambatan Tok Gajah, Rafael da Silva akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan untuk Pahang selepas memanfaatkan sepenuhnya kekalutan di hadapan gawang Penang FC untuk gol pertama perlawanan.

Gol itu dilihat seakan menyentap semangat anak-anak buah Akmal Rizal untuk terus melancarkan asakan bertali arus ke kubu Sri Pahang bagi menyamakan kedudukan.

Hasilnya, penyerang import kelahiran Nigeria, Abdeen Abdul berjaya menanduk masuk gol yang dicari-cari oleh tuan rumah berpunca daripada satu sepakan sudut.

Memasuki babak kedua, kedua-kedua pasukan terus menggandakan asakan untuk memburu jaringan kedua.

Anak-anak buah Fandi Ahmad bagaimanapun kembali mendahului pada minit ke-62 hasil rembatan cantik luar kotak penalti oleh Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak.

Semangat melawan Harimau Kumbang kembali ‘menyala’ susulan jaringan tersebut dan hasilnya, tuan rumah hanya memerlukan satu minit untuk menyamakan kedudukan juga menerusi sentuhan cemerlang Abdeen.

Aksi kian menarik apabila giliran Penang FC pula ‘menggoncang’ kekentalan kubu pelawat menerusi beberapa gerakan berbahaya selepas jaringan penyamaan kedua.

Kerja keras tuan rumah akhirnya berhasil apabila pemain tengah mereka, Muhammad Izzat Zikri Iziruddin meledak rembatan separuh voli untuk gol ketiga Harimau Kumbang dari luar kotak penalti pada minit ke-70.

Meskipun diasak hebat oleh SPFC untuk gol penyamaan, Penang FC terus kental bertahan untuk meraih tiga mata pertama selepas kali terakhir berbuat demikian pada aksi di laman sendiri ketika menewaskan Kelantan 4-3, Julai lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya