Semua agensi umrah bakal diberi penarafan gred

Semua agensi umrah bakal diberi penarafan gred

ROSLAN MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bakal memberikan ‘rating’ atau penarafan gred untuk kesemua 925 agensi pengurusan umrah di seluruh negara.

Langkah itu, malahan menurut Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Motac, Roslan Mohammad, sebagai usaha bagi membendung kes penipuan.

“Ini antara cadangan yang saya kemukakan kepada Majlis Kawal Selia Umrah dan syor ini diterima baik kemungkinan besar dilakukan tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Umrah Malaysia di kompleks beli belah Malakat Mall, di sini hari ini.

Roslan berkata, berdasarkan rekod Motac, terdapat 531 agensi pengurusan umrah di peringkat ibu pejabat dan 394 lagi merupakan cawangan dengan sebahagian besar adalah ahli Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) yang turut terlibat dalam sesi libat urus dengan Majlis Kawal Selia Umrah.

Katanya, angka ini diluluskan operasinya, manakala sejumlah 245 agensi adalah dalam pemerhatian pihaknya kerana ada kes aduan daripada jemaah,

Menyentuh antara kriteria agensi terbabit untuk mendapat penarafan, pihak majlis itu akan menilai operator berkenaan mesti ada menyewa hotel untuk penginapan di Tanah Suci.

Selain itu ujarnya, mereka wajib sudah membeli tiket penerbangan untuk semua jemaah kerana banyak kes penipuan didapati langsung tiada tempahan dibuat sebelum berlepas.

Agensi terbabit juga kata Roslan, perlu mempunyai surat perjanjian atau kontrak secara bertulis dengan setiap bakal jemaah tersebut dan bukan lagi membabitkan satu kumpulan.

Majlis Kawal Selia Umrah yang dibentuk Motac pada 2014 lalu turut mempertimbangkan syarat ketat agar agensi berkenaan harus ada amaun modal berbayar minimum tertentu.

“Kita belajar daripada banyak kes jemaah terkandas sebelum ini disebabkan ada syarikat yang tiada pun apa-apa modal asas jika berlaku situasi kecemasan luar jangka,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan masyarakat agar membuat semakan status lesen agensi terlebih dahulu jika berasa ragu menerusi laman sesawang rasmi Motac.

Mereka juga katanya, tidak patut berurusan dengan agensi yang langsung tiada pejabat operasi dan hanya boleh dihubungi menerusi aplikasi sembang sosial seperti Whatsapp.

Roslan juga menasihatkan bakal jemaah supaya tidak membuat pembayaran sekiranya mendapati nama agensi itu berbeza daripada nama rujukan akaun bank penerima deposit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN