KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu merampas lebih sembilan tan karkas babi dipercayai disembelih di rumah sembelihan tidak berlesen di Setiu dekat sini, Khamis lalu.
Pengarah Veterinar negeri, Dr. Anun Man berkata, serbuan tersebut dibuat sepasukan anggota penguatkuasa di tepi jalan di Kampung Pak Kancil, Permaisuri, Setiu sekitar pukul 3.30 pagi.
Menurut beliau, sebanyak 9,120 kilogram (kg) karkas babi bernilai RM246,240 dirampas di bawah peruntukan Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.
Selain itu, katanas, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an iaitu pemandu dan kelindan lori telah ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemukan 29 kotak mengandungi organ dan 228 keratan babi serta dua dokumen berupa invois dengan jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dan kontena berjumlah RM396,240.
“Hasil soal siasat terhadap dua lelaki itu menunjukkan mereka dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dan kami tidak menolak kemungkinan babi ini dibawa masuk dari negara jiran.
“Pemeriksaan awal juga mendapati terdapat cop sembelih dari rumah sembelihan berlesen namun siasatan lanjut menunjukkan sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Jelas Anun lagi, pihaknya menerima maklumat awal berhubung penggunaan lori kontena seakan sama dengan satu kes di Lembah Klang yang digunakan untuk membawa muatan karkas babi.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Kaedah 5(3) yang tidak membenarkan seorang pun menjual, mempamer atau memiliki apa-apa karkas yang tidak disembelih di rumah sembelihan berlesen.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000. – UTUSAN