Semakin ramai orang Malaysia masuk Thailand 

Semakin ramai orang Malaysia masuk Thailand 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Orang ramai dari seluruh negara mula memasuki Thailand hari ini untuk bercuti sempena perayaan Deepavali, esok.

Tinjauan sekitar Lebuhraya Bukit Kayu Hitam sehingga ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) mendapati aliran trafik sesak dengan pelbagai jenis kenderaan termasuk bas persiaran bermula 6 pagi.

Selain itu, kawasan sekitar Changlun, di sini turut sesak apabila orang ramai membanjiri premis menjual insurans ke Thailand untuk menyelesaikan urusan dokumentasi.

Menurut seorang kakitangan swasta, Azman Ali, 51, dari Pulau Pinang, dia memilih Thailand untuk bercuti kerana kosnya lebih murah berbanding tempat lain termasuk dalam negara.

“Saya datang dengan rombongan seramai 40 orang terdiri daripada rakan sekerja bersama keluarga masing-masing. Kami akan ke Satun dan kawasan sekitar selama tiga hari.

“Kos bercuti di Thailand sangat murah, saya hanya perlu sediakan RM350 seorang siap dengan pengangkutan dan penginapan. Makanan tak risau kerana sangat murah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

DERETAN kenderaan yang beratur untuk memasuki Thailand melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Menurut Nurul Hidayahtul Akmar Salihan, 36, dari Ipoh, dia bersama suami, Mohd. Firdaus Mat Salleh, 35, memilih untuk bercuti bersama ahli kelab bermotosikal tinggi, Couple Bikers ke Pak Bara, Satun selama dua hari.

“Kami semua pasangan suami isteri datang dengan tujuh buah motosikal. Ini bukan kali pertama kerana kelab kami memang suka ke Thailand sebab kosnya lebih murah berbanding bercuti dalam negara.

“Untuk setiap trip kami hanya perlu sediakan lebih kurang RM500 sahaja, itu pun sudah boleh menginap di hotel bertaraf empat bintang. Makanan pun sangat murah dan sedap. Beberapa bulan lepas kami ke Yala,” katanya.

Katanya, mereka tidak berniat untuk meminggirkan tempat percutian dalam negara namun aktiviti bercuti di situ agak terhad. 

“Bagi kebanyakan penunggang motosikal, apa yang menyeronokkan adalah menghayati keindahan alam sekitar. Bukan tak pernah ke Langkawi tetapi bukan selalu kerana kami rasa ke Thailand lebih mudah dan murah,” katanya.

Sementara itu, Alice Sun, 45, dari Kuala Lumpur bersama lima ahli keluarga memilih untuk bercuti di Hatyai sempena cuti ini.

“Kami bertolak dari rumah di Cheras semalam dan singgah di rumah ibu bapa saya di Sungai Petani dahulu sebelum bercuti ke Hatyai selama tiga hari.

“Kami pilih Hatyai sebab mudah dan murah di sana termasuk makanan. Selalunya kami akan belanja sekitar RM1,000 sahaja untuk lima beranak. Kalau beli belah mungkin lebih sikit. Walaupun matawang sana agak tinggi tetapi masih murah,” katanya.

Muhammad Alif Rusdy Kamaruddin, 20, dari Kulim berkata, Hatyai menjadi pilihannya bersama 10 rakan untuk berkonvoi sempena percutian kali ini.

“Kami tak mampu nak bercuti tempat lain di luar negara jadi saya dan rakan-rakan pilih Hatyai saja, luar negara juga. Kami cuma nak pergi ronda-ronda dan makan-makan sahaja, malam nanti balik. Wang pun tak bercadang belanja banyak cuma bawa RM300 sahaja,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya