KLANG: Kerajaan negeri tidak menolak untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada pelajar sekolah yang tinggal dekat kawasan pedalaman di Selangor.
Exco Perdagangan, Pelaburan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, beliau mengalu-alukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor di kawasan pedalaman untuk berjumpa dengannya bagi membincangkan penyediaan pengangkutan di kawasan mereka.
“Sekiranya ada permintaan khusus (penyediaan pengangkutan) daripada wakil rakyat sesebuah kawasan, mereka boleh datang jumpa saya untuk membincangkan hal ini.
“Kita hendak pastikan murid tidak ponteng sekolah disebabkan (tiada pengangkutan untuk ke sekolah) sekolah jauh dari rumah dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di Kampung Perepat, hari ini.
Sebelum ini, ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh dilaporkan memohon kerajaan negeri menyediakan pengangkutan kepada 180 orang murid sekolah yang tidak mampu ke sekolah kerana mempunyai masalah pengangkutan.
Kesemua murid itu yang tinggal di tiga buah ladang estet iaitu, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Hopefull dan Ladang Mary tidak dapat ke sekolah ekoran rumah mereka jauh di pedalaman iaitu kira-kira 15 kilometer.
Sze Han menjelaskan, kerajaan negeri ketika ini menyediakan bantuan tambang bas sekolah kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), dengan kebanyakan bantuan itu diberikan kepada murid sekolah berkenaan yang tinggal di kawasan ladang.
“Kalau kita tengok, Bas Smart Selangor khususnya di laluan PJ01 melalui Taman Medan dan Kampung Dato’ Harun, murid sekolah yang tinggal di kawasan tersebut yang paling ramai naik bas untuk laluan berkenaan.
“Kalau waktu pagi dan tengah hari selepas waktu persekolahan, murid sekolah yang ramai naik Bas Smart Selangor ini,” ujarnya. – UTUSAN