SHAH ALAM: Hutang Selangor kepada Persekutuan kini berjumlah RM19.2 juta dan dijangka dapat melunaskan baki keseluruhannya itu pada tahun hadapan.
Kemampuan itu menjadikan negeri ini mempunyai kebebasan kewangan yang cemerlang apabila kesemua hutang tersebut dilunaskan oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan rekod terkini, baki hutang kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM19,207,475.78 yang terdiri daripada pinjaman Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS).
“Komitmen penyelesaian liabiliti hutang oleh kerajaan negeri pada tahun 2024 juga adalah rendah yang hanya melibatkan penyelesaian baki ansuran akhir Skim ASAS yang berjumlah RM1,893,379.47.
“Manakala, baki pinjaman Projek Bekalan Air sebanyak RM17,314,096.31 secara jelasnya termaktub dalam Perjanjian Penyelesaian Global berkenaan penstrukturan industri air Selangor akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang hanya memerlukan tindakan urusan dokumentasi yang mana sedang dalam tindakan PAAB untuk diselesaikan sepenuhnya,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2024, hari ini.
Tambahnya, dengan kelebihan kebebasan kewangan itu, kerajaan negeri membuktikan tatakelola terbaik dalam menguruskan sumber kewangan tanpa menjejaskan ketangkasan perkhidmatan dalam meningkatkan darjat hidup rakyat Selangor melalui belanjawan negeri 2024.
Menurutnya lagi, Selangor mempunyai kemampanan hasil negeri yang selari dengan inisiatif dalam Rancangan Selangor Pertama (RS1) akan dimulakan pada tahun 2024 bagi memastikan ekonomi negeri lebih kukuh dan berdaya saing bagi jangka masa lima tahun akan datang, dan akan dimulakan pada tahun 2024.
“Melalui sumbangan dan dividen anak syarikat, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil dividen yang pertama daripada anak syarikat kerajaan negeri di bawah pegangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak RM40 juta pada tahun 2024.
“Pemberian sumbangan dan dividen ini akan mempelbagaikan aliran hasil negeri untuk membantu kemampanan fiskal dan sebagai permulaan, Kerajaan Negeri mensasarkan kutipan hasil dividen yang pertama daripada Anak Syarikat Kerajaan Negeri di bawah pegangan MBI pada tahun 2024 sebanyak RM40 juta,” jelasnya.
Katanya, amaun ini merupakan amaun minimum yang disasarkan dan akan dikaji setiap tahun pada masa akan datang berdasarkan senario kewangan dan ekonomi semasa. – UTUSAN