Selangor kekal kaedah sama jaga kuota hartanah bumiputera - Utusan Malaysia

Selangor kekal kaedah sama jaga kuota hartanah bumiputera

Kuota bumiptera
BORHAN Aman Shah menjawap pertanyaan berkenaan kuota hartanah bumiputera pada Sidang DUN Selangor dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perlindungan kuota lot bumiputera bagi penjualan rumah masih lagi mengguna pakai kaedah sedia ada termasuk blanket consent atau blanket approval kepada pemaju perumahan.

Menurut Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah, penentuan peratusan kuota tersebut adalah berpandukan blue print perumahan negeri Selangor bagi sesuatu projek pembangunan.

“Ia akan disyaratkan atau dikenakan semasa kelulusan tukar syarat kegunaan dan pemberimilikan tanah. Kelulusan tersebut diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah/Tanah atau Pejabat Tanah dan Galian Selangor,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023 berkenaan syarat penjualan lot bumiputera kepada bukan bumiputera.

Jelasnya, pemaju perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan syarat kuota bumiputera dipatuhi semasa proses penjualan hartanah.

“Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) akan membuat pemantauan semasa peringkat permohonan kelulusan blanket consent / blanket approval oleh pihak pemaju.

“Sekiranya pihak pemaju tidak mematuhi syarat kuota bumiputera atau pemaju terlebih jual unit bukan bumiputera maka proses blanket consent / blanket approval tidak dapat diteruskan,” ujarnya.

Borhan yang juga ADUN Tanjong Sepat (PH) itu menambah, pemaju terbabit juga akan disenaraihitam daripada membuat sebarang permohonan pelepasan kuota bumiputera di Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan dikenakan denda yang lebih berat.

Katanya lagi, pemaju dikehendaki mematuhi syarat-syarat di dalam Pekeliling LPHS Bilangan 1 Tahun 2019 berkenaan Mekanisme Penyelenggaraan Kuota Bumiputera Negeri Selangor 2.0 bagi membuat permohonan pelepasannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya