KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor digesa mengagihkan baucar Jom Shopping Deepavali secara adil kepada kaum India yang memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada penduduk kaum itu yang tidak mendapat bantuan berkenaan.
Menurutnya, pemberian baucar itu perlu disalurkan secara telus dan tidak mengetepikan rakyat di DUN yang dimenangi pembangkang.
“Saya sememangnya menyambut baik inisiatif berkebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri seperti Baucer Jom Shopping itu.
“Namun, ia jangan hanya sekadar indah khabar daripada rupa dan seharusnya diberikan terus kepada rakyat secara adil dan saksama di semua DUN tanpa mengira pembangkang atau kerajaan,” katanya pada Majlis Sumbangan Deepavali di Pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Permatang, hari ini.
Tambah Nurul Syazwani, perkara itu turut dibangkitkan beliau ketika sidang DUN Selangor baru-baru ini.
“Baucer ini tidak diberi kepada pejabat DUN pembangkang namun difahamkan kepada Pejabat Penyelaras DUN atau Parlimen (kerajaan).
“Insentif berkebajikan ini seharusnya bergerak kepada digitalisasi bagi membolehkan pengagihannya terus kepada penerima yang layak dan tidak keciciran berlaku,” ujarnya.
Tambah beliau, rata-rata kaum India di DUN Permatang menetap dan bekerja di ladang serta berpendapatan rendah.
“Kebanyakan mereka bukan saja ketinggalan dari segi infrastruktur pembangunan malah masih lagi di bawah garis kemiskinan,” ujarnya. – UTUSAN