Sekolah vernakular boleh terus beroperasi, boleh guna bahasa Mandarin dan Tamil

Sekolah vernakular boleh terus beroperasi, boleh guna bahasa Mandarin dan Tamil

PIHAK-PIHAK yang berkepentingan dalam rayuan berhubung sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah itu hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan sekolah vernakular di negara ini boleh terus beroperasi manakala penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan, sah di sisi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian memutuskan demikian ketika menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) dan keabsahan sekolah itu.

Perayu-perayu terdiri daripada Mohd. Zai Mustafa bagi pihak Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) manakala tiga yang lain ialah Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Hakim Supang yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan berpuas hati sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang lain daripada bahasa Melayu, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketika membacakan alasan ringkas penghakiman, Hakim Azizul Azmi berkata, bahasa Mandarin dan Tamil sebagai pengantara tidak seharusnya dihalang kerana penggunaannya dianggap bukan untuk urusan rasmi seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Ujar beliau, persoalan yang dibangkitkan adalah sama ada penggunaan bahasa pengantar di sekolah tertakluk untuk `urusan rasmi’ dan sama ada sekolah dianggap sebagai sebahagian daripada `kerajaan’ atau `pihak berkuasa awam’ di bawah Perkara 152(6).

Hakim Azizul Azmi berpendapat, sekolah tidak dikategorikan sebagai pihak berkuasa statutori mahupun pihak berkuasa awam dan menjadikan bahasa selain bahasa Melayu di sekolah kebangsaan boleh digunakan kerana ia bukan untuk tujuan rasmi.

Dalam penghakiman itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang menyatakan sekolah vernakular adalah pihak berkuasa awam selepas membenarkan rayuan silang Dong Zong dan Jiao Zong.

Hakim Azizul Azmi bagaimanapun bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan adalah dibenarkan kerana ia terlindung di bawah Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152(1)(b) menyatakan, tiada apa-apa yang boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana kerajaan negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Pada hemat panel itu, peruntukan undang-undang tersebut mempunyai kesan `melestarikan’ penggunaan bahasa lain ketika pengisytiharan kemerdekaan. Hakim Azizul Azmi turut berpendapat, jika penggunaan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah sudah wujud sebelum merdeka, maka kerajaan melalui proviso (b), mempunyai hak untuk memelihara dan mengekalkan penggunaannya.

Menurut beliau, bukan menjadi hasrat penggubal Perlembagaan bahawa sekolah yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu atau Inggeris sebagai bahasa pengantar adalah menyalahi undang-undang dan bertentangan syarat perlembagaan.

“Jika ini berlaku, sekolah berkenaan akan ditutup, dimansuhkan atau ditukarkan. Oleh itu, sekolah yang menggunakan bahasa Tamil atau Mandarin sebagai bahasa pengantar tidak boleh dipertikaikan kerana ia sudah wujud sebelum merdeka,” ujar Hakim Azizul Azmi.

PIHAK-PIHAK perayu dan peguam bergambar di pekarangan Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas keputusan rayuan berhubung sekolah vernakular. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Dalam prosiding hari ini, i-Guru merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas pada 29 Mei 2022 yang menolak samannya. NGO itu merayu agar Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, diisytihar tidak konsisten dengan Perlembagaan.

Mappim, Gapena dan Isma pula merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 yang menolak saman berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah tersebut.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Dalam saman yang difailkan, plaintif telah menamakan Kerajaan Malaysia dan 13 lagi sebagai defendan. Antaranya ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mappim dan Gapena dalam sidang media selepas keputusan itu berkata, pihaknya akan memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 30 hari selepas dibenarkan mahkamah.

Pada prosiding itu, peguam Khairul Azam Abdul Aziz berhujah mewakili Isma, Datuk Shaharuddin Ali bagi pihak i-Guru manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili Menteri Pendidikan dan kerajaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN