Sedekad pengembaraan pengajian tinggi Norieziana yang berbaloi - Utusan Malaysia

Sedekad pengembaraan pengajian tinggi Norieziana yang berbaloi

Pengajian tinggi
NORIEZIANA Mohd. Noh menunjukkan skrol Sarjana Pengurusan Sistem Pejabat diterimanya pada Istiadat Konvokesyen Ke-98 UiTM dekat Dewan Agung Tuanku Canselor di UiTM Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perjalanan seorang graduan yang memulakan ‘pengembaraan’ pengajian tinggi bermula di peringkat pra-diploma sehingga sarjana dianggap berbaloi apabila peroleh keputusan cemerlang.

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norieziana Mohd. Noh, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sarjana Cemerlang dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.90 dalam bidang Sarjana Pengurusan Sistem Pejabat.

Menurutnya, keputusan tersebut amat bernilai apabila mengenangkan pengorbanan bukan sahaja dilakukannya seorang, bahkan ibu bapa yang memastikannya mendapat pendidikan terbaik meskipun cuma meraih pendapatan sebagai penoreh getah.

“Saya masih teringat semasa saya kecil ibu bapa saya bekerja kuat keluar awal pagi menoreh getah demi menyara kami enam adik-beradik.

“Melihat kesusahan ibu mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja berat seperti mengutip getah, memikul tiang rumah, dan mengambil upah membersihkan kebun membuat hati saya terdetik untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen Ke-98 UiTM.

Justeru, anak kelahiran Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling berusia 27 tahun itu berhasrat untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan haji sebagai penghargaan atas pengorbanan mereka.

Dalam pada itu, Norieziana yang juga penerima biasiswa Yayasan Sime Darby memaklumkan perjalanannya di peringkat pengajian tinggi bermula hampir sedekad lalu.

“Saya bermula daripada pra-diploma, diploma, ijazah sarjana muda hingga sarjana dan ia perjalanan panjang yang berbaloi. Jasa Yayasan Sime Darby akan sentiasa saya kenang.

“Harapan saya untuk mengambil pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) bagi mencapai cita-cita sebagai pensyarah satu hari nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya