GEORGE TOWN: Sebuah lagi sekolah antarabangsa di Batu Feringgi di sini, turut menerima ancaman ugutan bom menerusi e-mel semalam.
Ia menjadikan tiga buah sekolah antarabangsa di negeri ini menerima ancaman ugutan bom tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, laporan polis mengenai kejadian itu dibuat kira-kira pukul 9.22 pagi tadi.
“Mengikut laporan semalam, kira-kira pukul 9.42 pagi, pihak sekolah telah menerima satu e-mel daripada individu tidak dikenali ([email protected]) mengatakan bahan letupan telah ditanam di sekolah,” katanya di sini hari ini.
Semalam, polis mengesahkan dua buah sekolah antarabangsa di negeri ini menerima ancaman ugutan bom menerusi e-mel.
Susulan itu, dua kertas siasatan berasingan telah dibuka berhubung kes berkenaan.
Selain Pulau Pinang, sebanyak sembilan buah sekolah antarabangsa di sekitar ibu negara dan Selangor dilaporkan turut menerima ancaman bom melalui hantaran e-mel.
Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. – UTUSAN