'Saya tak kan maafkan pengasuh'

‘Saya tak akan maafkan pengasuh’

NUR Qaseh memakai alat sokongan bagi memulihkan kecederaan patah paha yang disyaki didera pengasuh. - FOTO IHSAN KELUARGA NUR QASEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya tidak akan sekali-kali maafkan pengasuh, tergamak buat begitu sampai patah paha anak.”

Itu luahan bapa kepada seorang bayi perempuan berusia empat bulan yang mengalami patah paha kanan dipercayai dipulas pengasuh ketika dalam jagaan wanita berusia 25 tahun di Dengkil, Selangor.

Faridzuwan Kamaruddin berkata, dia teramat kecewa dengan perbuatan pengasuh itu sanggup menganiaya seorang bayi yang masih tidak tahu apa-apa apatah lagi Nur Qaseh Neliya adalah cahaya mata pertamanya.

“Pada mulanya saya langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana pengasuh itu mendakwa dia pernah bekerja di pusat asuhan kanak-kanak-(taska) sebelum ini.

“Air muka nampak sangat baik, dia pula belum ada anak lagi dan hanya menjaga anak saya seorang sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan kes penderaan bayi yang disyaki dilakukan pengasuh dalam kejadian yang berlaku pada 15 November lalu dalam jagaan wanita itu.

Doktor mengesahkan kecederaan dialami berkemungkinan paha bayi itu dipulas yang sebelum itu didakwa pengasuh berkenaan akibat cuba menggeliat.

Faridzuwan berkata, dia masih menunggu perkembangan daripada pihak polis dan tindakan undang-undang sedang dijalankan selain akan berbincang dengan pihak peguam selepas kes ini disahkan dibawa ke mahkamah.

Katanya, Nur Qaseh Neliya masih tidak aktif seperti biasa, namun bersyukur bayinya dapat menyusu dengan baik.

“Pada masa ini, isteri saya mengambil cuti dan akan bekerja dari rumah sehingga hujung tahun untuk menjaga anak. Kami masih trauma untuk hantar anak untuk dijaga orang lain.

“Berkemungkinan selepas ini Nur Qaseh akan dijaga ibu saya walaupun berada di Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya