BANGI: Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani memberitahu, dia seorang peramah dan suka bergaul dengan orang lain yang mewajarkan alasan mengapa sering berhubung melalui panggilan video dengan Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff, meskipun baru bekerja di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
Dia yang berusia 33 tahun berkata, telah mengenali Mohammad Agus sebelum ini, namun hubungan kedua-dua mereka tidak rapat sehinggalah bekerja di bawah seliaan bekas pensyarah itu di J-KOM.
Jelas Abdul Wahab, isi perbualan dalam video tular yang didakwa disunting dengan unsur lucah sebenarnya tidak lebih sekadar urusan kerja dan saling bertanya khabar selain video rakaman sebenar juga tidak mempunyai audio.
“(Konteks perbualan) kerja dan bertanya khabar sebab saya sebelum ini memang dengan bos lama (di tempat kerja terdahulu) dikenali sebagai ramah, banyak sembang dan bercakap,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini semalam.
Dia bersidang bersama-sama Mohammad Agus dan dua peguam masing-masing mewakili mereka itu iaitu Mohd. Faizal Abdul Rahman dari Tetuan Faizal Rahman & Co. dan Zaflee Pakwanteh dari firma guaman Zaflee & Co.
Mengulas lanjut, Abdul Wahab memberitahu, dia memakai baju semasa melakukan panggilan video yang mana ketika itu dia berada di rumah manakala Mohammad Agus berada di tempat lain.
“Pakai,” katanya.
Katanya, dia telah dijanjikan habuan oleh pegawai atasan yang digelarnya sebagai ‘Mr. H’ untuk merakam perbualan bersama Mohammad Agus.
Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan secara khusus bentuk habuan tersebut sama ada melibatkan wang ringgit atau jawatan tertinggi di dalam J-KOM.
“Mungkin,” katanya.
Ketika ditanya pemberita alasan membuatkan dia percaya kepada individu itu sehingga sanggup berkomplot menjatuhkan Mohammad Agus, katanya, dia seorang yang naif.
“Saya rasa benda ini satu penganiayaan pada orang dan saya sedar telah dikambing hitamkan,” katanya.
Semalam, Abdul Wahab muncul dalam sidang akhbar bersama Mohammad Agus bagi menjelaskan rakaman video yang tular melibatkan perbualan lucah antara dua lelaki.
Katanya, rakaman video itu telah disunting dan dibingkaikan seolah-olah mereka sedang berbual mengenai perkara intim dan hubungan sejenis, sedangkan hakikatnya ia tidak seperti yang digambarkan.
Abdul Wahab mendakwa dia diarah oleh pegawai atasan yang digelarnya sebagai ‘Mr. H’ untuk merakam video perbualan Whatsapp bersama Mohammad Agus, namun tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai individu itu.
Katanya, pada November 2023, dia telah berjumpa Mr. H di pejabatnya dan beberapa pertemuan diatur oleh individu berkenaan, termasuk membawanya ke Pejabat Perdana Menteri dan hotel di ibu negara untuk berjumpa beberapa individu berpengaruh yang disebut Mr. H.
Jelasnya, dia mendapat maklumat bahawa Mohammad Agus terlibat dalam aktiviti tidak bermoral selain dia telah ditugaskan untuk ‘membersihkan’ J-KOM dari dalam dengan cara merakam perbualan video itu.
Bagaimanapun, Abdul Wahab malam tadi telah meminta maaf atas perbuatannya itu tanpa menyedari sebenarnya ia digunakan oleh Mr. H untuk niat yang buruk.
Baru-baru ini, media melaporkan satu rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip Mohammad Agus dan tersebar di media sosial.
Video berdurasi 3 minit 3 saat itu dikongsi Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi Tik Tok miliknya.
Menerusi rakaman video itu boleh didengar secara jelas perbualan sesama lelaki itu melalui panggilan video seperti pasangan kekasih yang sedang ‘memancing’ untuk melakukan hubungan intim.
Menjengah ruangan caption pada video berkenaan, Che’gu Bard mempersoal jika lelaki dalam video itu adalah Pengarah J-KOM lantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan meletak jawatan.
Mohammad Agus kelmarin mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan dan diserah kepada Perdana Menteri semalam.
Katanya, keputusan berkenaan dilakukan berikutan beliau menerima tawaran pekerjaan baharu dan bukan disebabkan tekanan oleh mana-mana pihak. –UTUSAN