'Saya akan sempurnakan rawatan di hospital'

‘Saya akan sempurnakan rawatan di hospital’

MUHAMMAD Yasin Sulaiman tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi keputusan atas tiga pertuduhan dadah. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman yang dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan dadah, berhasrat untuk menyempurnakan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak berhubung penyakit kecelaruan bipolar yang dialaminya.

Sambil meluahkan kesyukuran ekoran keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memihak kepadanya Muhammad Yasin berkata, dia menjalani rawatan selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor.

“Saya akan menyempurnakan rawatan bipolar di sana dan kemudian membuat permohonan untuk kembali ke kampung,” ujar artis berkenaan ketika ditemui pihak media sejurus keputusan kesnya diumumkan.

Penyanyi itu ternyata lega selepas `turun naik’ mahkamah selama 20 bulan, keputusan mahkamah memihak kepadanya walaupun tidak menjangkakan demikian.

““Tak expect (jangka keputusan hari ini), sebenarnya 50-50. Pada yang mengikuti perbicaraan nampaklah berat kepada kemenangan (saya) tetapi saya sentiasa bersedia untuk keputusan sama ada ke kiri atau ke kanan,” ujarnya.

Ditanya mengenai perasaannya, bapa dua anak itu mengakui berdebar dan memperbanyakkan solat bagi menghadapi keputusan hari ini. 

“Memang berdebar, tapi saya banyak berdoa dan solat, terima kasih kepada pasukan peguam saya. Saya akan kembali mewarnai industri hiburan sebaik habis rawatan di hospital itu.  Banyak lagu yang saya sediakan.  Insya Allah saya akan terbitkan lagu macam biasa,” katanya. 

Dalam pada itu, anak ketiga daripada tujuh beradik itu turut memohon maaf kepada mereka yang terkesan dengan penyakit bipolar dihidapinya. 

“Saya juga minta maaf sangat atas sakit bipolar, bukan kali ini saja, minta maaf lah kalau ada terkasar bahasa. Saya pernah marah-marah, maki hamun dan sebagainya tak kira lah anda ahli keluarga saya, kawan terdekat, teman sejati, orang yang pernah menyayangi saya terima kasih dan saya minta maaf banyak-banyak,” katanya.

Sementara itu, abang penyanyi tersebut, Zain  Sulaiman, 51, ketika ditemui pihak media turut meluahkan kesyukuran terhadap berita baik yang diumumkan oleh mahkamah. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak termasuk ahli keluarga, rakan-rakan, barisan peguam bela, doktor pakar dan pihak media yang membuat liputan kes berkenaan dari awal.

“Dah lama kita tunggu hari ini, seminggu kita tidur pun tak lena memikirkan apakah kesudahan perbicaraan ini, keputusan hari ini amat menggembirakan dan kami berterima kasih kepada semua.  Tidak mampu untuk membalasnya. Memang kita lihat dalam perbicaraan tu bukti yang dikemukakan oleh pembelaan agak kukuh tapi kita masih 50-50 kerana apa pun boleh berlaku,” katanya.

Menurut Zain, meskipun adiknya perlu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta namun jarak bukan satu masalah kerana mereka sekeluarga yakin dia akan menerima rawatan yang sempurna di sana.

“Saya rasa pihak yang berkenaan sedang membuat persediaan untuk menghantar dia ke sana, mungkin dalam 2,3 hari ini,” ujar beliau.

Pada prosiding hari ini, Hakim Faiz Dziyauddin  memerintahkan penyanyi itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 348(2) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Mahkamah berpuas hati Muhammad Yasin melakukan ketiga-tiga kesalahan seperti dalam pertuduhan namun dia berada dalam keadaan tidak waras sehingga tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatannya bertentangan dengan undang-undang.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala Muhammad Yasin diwakili oleh peguam Ariff Azami Hussein dan Azizul Shariman Mat Yusof. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN