Sasar selesai 20 projek terbengkalai tahun depan

Sasar selesai 20 projek terbengkalai tahun depan

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir menyampaikan sijil penghargaan kepada pemaju yang berjaya memulihkan projek perumahan pada Seminar Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan sebanyak 20 projek daripada keseluruhan 111 projek terbengkalai dapat diselesaikan pada tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sebahagian daripada 16 projek terbengkalai itu dikenal pasti di Terengganu, Kelantan, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, fokus utama adalah untuk menyelesaikan projek yang sudah berada di penghujung dan hanya tinggal beberapa peratus sahaja lagi untuk disiapkan khususnya melibatkan projek di bawah harga RM300,000.

“Kita sasarkan 20 daripada 111 projek terbengkalai kerana berdasarkan statistik, kelazimannya yang berjaya diselesaikan itu adalah 10 peratus daripada jumlah projek terbengkalai, tapi sasaran pada tahun hadapan adalah agak ‘ambitious’ bagi saya.

“Sebagai contoh, awal tahun ini jumlah projek terbengkalai yang kita warisi dari awal adalah sebanyak 112 projek, jadi bila kita berjaya selesaikan lapan projek maknanya (terdapat) penambahan untuk tahun ini yang berlaku,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Seminar Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai 2023 di sini hari ini.

Seminar tersebut bertujuan memperluaskan lagi kolaborasi, pengalaman dan kerjasama strategik di antara pihak berkepentingan dalam menangani pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.

Ia menyasarkan penyertaan lebih 200 wakil agensi khususnya pemaju perumahan, kontraktor penyelamat serta pelikuidasi.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, antara langkah-langkah yang diberi perhatian bagi mencapai sasaran termasuk lah melalui dana tambahan sebanyak RM20 juta yang disalurkan kerajaan bagi pemulihan 16 projek terbengkalai menerusi inisiatif Bajet 2023.

Selain itu, katanya, KPKT juga akan meneliti Skim Jaminan Khas yang diumumkan dalam Bajet 2024 untuk menggerakkan semula mana-mana projek tanpa menggunakan dana awam.

“Kita kena faham untuk menyelesaikan projek terbengkalai ia memakan masa bukan dua tiga bulan tetapi sehingga bertahun-tahun untuk kita diselesaikan.

“Selain itu, kita turut mengetengahkan (menerusi seminar ini) beberapa projek yang ada potensi untuk diselamatkan atau diselesaikan seperti melalui proses libat urus dengan mengenal pasti mereka yang boleh menjadi penyelamat,” katanya.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai (TFST) merekodkan sebanyak 655 projek perumahan dikategorikan sebagai lewat, sakit dan terbengkalai dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM79.03 bilion, setakat 30 Sept lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya