Sarawak sasar jadi hab industri semikonduktor dan reka bentuk cip

Sarawak sasar jadi hab industri semikonduktor dan reka bentuk cip

ROLAND Sagah Wee Inn (tengah) menyaksikan perasmian Program ‘Train-The-Trainers: Talent Development in Semiconductors and Chop Design, di Hotel Sheraton, Kuching Sarawak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak pergiat usaha memacukan industri semikonduktor dan reka bentuk cip dengan sasaran melahirkan seramai 500 jurutera atau pereka cip dalam industri itu. 

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, setakat ini, Sarawak hanya mempunyai 17 pereka cip dan yakin jumlah tersebut akan terus meningkat. 

“Sekarang, di Sarawak Microelectronics Design (SMD) kita mempunyai 17 jurutera dalam reka bentuk cip ini dan kita yakin jumlah itu akan terus meningkat dalam melahirkan anak Sarawak pakar dalam bidang ini. 

“Bagaimanapun, sekarang, kita mempunyai ratusan jurutera melibatkan rakan kerjasama industri ini daripada luar negara untuk melatih dan melahirkan kepakaran anak tempatan Sarawak untuk mahir dalam reka bentuk cip dan semikonduktor ini,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir merasmikan ‘Train-The-Trainers: Talent Development in Semiconductors and Chop Design’ di Hotel Sheraton di sini hari ini. 

Program Train the Trainer (TTT) akan melibatkan profesional, penyelidik akademik, pensyarah, dan profesor yang mempunyai pengalaman berkaitan dalam industri elektronik dan mikroelektronik.

Ia akan dijalankan di pejabat SMD, dengan jurulatih menjalani latihan yang diketuai oleh pakar dari Synopsys. 

Program latihan berkenaan akan bermula pada Januari 2024 dan diadakan selama empat minggu.

Dalam perkembangan sama, Roland berkata, Sarawak bertuah kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan pemain industri dari luar negara seperti Melexis, X-FAB dan Synopsys sekali gus dalam landasan sasaran Sarawak menjadi hub industri semikonduktor dan reka bentuk cip. 

“Kita memang ada juga berkolaborasi dengan negara luar Eropah dan bertuah ada rakan kerjasama seperti Melexis, X-FAB dan Synopsys yang membantu kita dalam industri ini untuk melatih dan melahirkan pakar dalam kalangan anak tempatan. 

“Sehubungan itu, kita berharap sasaran jadi hab industri ini dapat direalisasikan dan kita juga sekarang menyasarkan untuk membawa pulang pakar-pakar anak Sarawak yang bekerja di luar negara dalam industri ini untuk berkhidmat di negeri kelahiran mereka di Sarawak ini,” tambahnya. 

Justeru, kerajaan menyeru pensyarah yang berkaitan dari institusi tinggi seperti Universiti Swinburne, i-CATS, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti CURTIN, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Politeknik, CENTEXS dan Sarawak Skills, untuk menyertai program TTT.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya