Sarawak mahu lahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang TVET

Sarawak mahu lahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang TVET – Premier Sarawak

ABANG Johari Tun Openg (lima dari kanan) menyaksikan majlis penyerahan mock kunci bagi fasiliti pendidikan daripada Pengarah Yayasan Sarawak; mewakili kerajaan negeri kepada Ketua Pengarah MARA bagi urusan pengoperasiannya di MRSM Bintulu, Sarawak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTULU: Sarawak mahu lebih banyak institusi pendidikan berteraskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ditubuhkan di negeri ini dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang berkenaan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu kelak sekali gus akan bantu hasrat untuk melonjakkan pendapatan isi rumah yang berpendapatan tinggi.

“Kita mahu melahirkan banyak tenaga kerja yang mahir dalam bidang yang baru. Sebab itu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai asrama penuh supaya mereka dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka khususnya dalam bidang STEM.

“Apabila mereka dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka, maka kita dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai kepandaian dan kepakaran terhadap bidang teknologi ini akan juga meningkat,” ujar Abang Johari.

Sehubungan itu katanya lagi pembangunan bakat dalam setiap individu amat penting dalam mendukung hasrat meningkatkan pendapatan isi rumah yang berpendapatan tinggi.

“Sebab itu tadi saya sebutkan bahawa ekonomi kita sekarang ini telah mendapat pengiktirafan Bank Dunia sebagai negeri perpendapatan tinggi, maka itu kita hendak membangunkan supaya pendapatan isi rumah ini juga meningkat.

“Ertinya usaha melonjak pendapatan isi rumah golongan B40 kepada M40 ia perlu beteraskan kepada bakat. Pembangunan bakat ini penting kerana apabila mereka tamat pengajian di universiti dan juga ada perkejaan yang sesuai dengan latihan, maka mereka akan mendapat lumayan dari sudut gaji mereka.

“Katakan kita ada anak-anak, sorang RM6,000 gaji sebulan, dua orang RM12,000 gaji bermaksudnya di sini pendapatan isi rumah itu boleh melebihi RM15,000. Maka, kalau ini berlaku bermaknanya kadar kemiskinan akan menurun, dan pendapatan akan meningkat,” jelas Abang Johari lagi.

Abang Johari berkata demikian dalam sidang media selepas hadir di Majlis Penyerahan dan Perasmian Maktab Rendah Sains MARA Bintulu, semalam.

Terdahulu dalam ucapan di perasmian MRSM tersebut, Abang Johari berkata, bahawa beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melengkapkan kemudahan sekolah-sekolah di luar bandar dengan makmal sains.

“Pengajaran stem ini sangat penting dan saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri supaya sekolah-sekolah diluar bandar lengkapkan dengan makmal. Hari ini sekolah di luar bandar tidak ada makmal, hanya sekolah jenis Sains sahaja ada, kalau kita hendak mendedahkan anak-anak kita dalam bidang TVET ini, kita mesti didedahkan kepada makmal secara praktikal.

“Setidak-tidaknya dia (pelajar) mesti tahu fotosintesis, di mana datangnya karbon, partikal mana yang menyerap karbon, bagaimana ia terkeluar. Sebab itu kita mesti ada prasarana makmal di sekolah luar bandar termasuk sekolah di dalam bandar juga.

“Alhamdulilah kawasan Jepak sekarang ini sudah ada MRSM untuk melatih anak Bintulu dan peluang anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran mereka dan mempunyai asas pakar dalam pengetahuan bidang sains,” tegasnya.

Kampus Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bintulu yang telah dibangunkan oleh PETRONAS dalam usaha menandakan kejayaan usahasama antara PETRONAS dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan MARA.

Ia selaras dengan aspirasi bagi memperkasakan pembangunan modal insan yang berketerampilan. Kerjasama tiga penjuru antara MARA, Kerajaan Negeri Sarawak dan PETRONAS bakal menjadi pemacu pembangunan pendidikan di Bahagian Bintulu terutamanya dalam aspek modal insan.

Kampus MRSM Bintulu melibatkan kos pembinaan RM122 juta itu bakal beroperasi mulai Mac 2024, dan menyediakan peluang kepada para pelajar di Sarawak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti serta merangsang minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Dengan keluasan 22,000-meter persegi, kampus MRSM Bintulu mempunyai kapasiti untuk menampung 450 pelajar.

Kampus ini mempunyai pelbagai kemudahan, termasuk Bangunan Pentadbiran, Blok Akademik, Pusat Sumber, Asrama Pelajar, Pusat Pelajar, Dewan Makan, Dewan Serbaguna, Pavilion, Surau, Kediaman Kakitangan, Kediaman Guru, Bangunan Sampingan, dan Kemudahan Sukan. Kemudahan ini telah dirancang dengan teliti demi memenuhi pelbagai keperluan pelajar dan pendidik.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya