KUCHING: Kerajaan Sarawak kekal mempunyai kuasa untuk melaksanakan apa-apa yang terdapat dalam undang-undang berkaitan hidupan liar hutan dan perlindungan alam sekitar di negeri ini, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.
Bagaimanapun, ujarnya, kerajaan negeri secara prinsipnya menyokong pindaan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang dipinda di peringkat Persekutuan.
“Kita sudah jelas mengenai undang-undang perhutanan ataupun tanah Sarawak dan ia memang di bawah kuasa kerajaan negeri. Mana-mana undang-undang yang digubal di peringkat Parlimen, yang tidak mempunyai sokongan kerajaan negeri, kita tidak akan terima pakai.
“Bagaimanapun, sebelum mereka bawa ke Parlimen, banyak perbincangan yang kita buat di peringkat jabatan dan sebagainya. Oleh itu, secara prinsipnya, kita menyokong supaya ia tidak bercanggah dengan undang-undang kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Intergriti Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad yang meminta agar semua kerajaan negeri memberikan sokongan dengan menerima pakai keseluruhan pindaan dicadangkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang dilulus dan diwartakan di peringkat Persekutuan pada September tahun lalu sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri masing-masing.
Sehubungan itu, Len berkata, segala perincian berkaitan polisi tanah dan hutan, ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri bersama jabatan serta agensi untuk dimuktamadkan.
“Kita mempunyai polisi tanah negara dan perhutanan negara, tapi dari segi prinsip. Dari segi perincian, ia masih dalam kuasa kita melaksanakannya. Perhutanan ataupun ordinan hidupan liar dan perlindungan, dan perhutanan.
“Sekarang ini, kita juga sedang berunding dengan Jabatan Alam Sekitar (DOE) mengenai penurunan kuasa dalam undang-undang Lembaga Alam Sekitar Negeri (NREB),” tambahnya.
Nik Nazmi juga berkata, melalui penambahbaikkan RUU itu nanti, proses penyiasatan awam diperkenalkan sebelum sesuatu kawasan hutan simpan kekal (HSK) diwarta keluar dan penggantian serentak bagi HSK yang diwarta keluar.
Malah, katanya usaha itu membuktikan kerajaan komited dalam memelihara dan memulihara kawasan berhutan dan khazanah kepelbagaian biologi, serta beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan menjelang tahun 2040.-UTUSAN