KUCHING: Dasar kerajaan Sarawak mempromosikan tenaga hijau dan ekonomi teknologi baharu menjadikan negeri ini sebagai pilihan destinasi pelaburan.
Justeru itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata perkembangan pesat terhadp pertumbuhan sektor ekonomi baharu seperti Ekonomi Digital, Ekonomi Pekeliling, Kepintaran Buatan, Ekonomi Hidrogen, Pelancongan Mampan dan Pertanian Tepat menjadi pemangkin kepada fasa pertumbuhan ekonomi.
“Dengan keupayaan Sarawak yang mempunyai infrastruktur yang teguh, sokongan dasar kerajaan dan kedudukan strategik di Asia Tenggara. Impak ini akan membolehkan negeri ini menawarkan peluang unik untuk usaha niaga para pelabur.
“Sehubungan itu, saya menyeru usahawan dan pelabur, untuk menganggap Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan anda,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penutupan Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, petang tadi.
Dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Islamic Chamber of Commerce, Industry and Agrilcuture, dan Global One, forum ini bertujuan untuk menjadi hab pengetahuan bagi kerajaan, syarikat dan masyarakat sivil untuk meneroka amalan terbaik dan inovatif dalam pelbagai domain seperti Islam. kewangan, teknologi hijau dan pertanian.
Bertemakan ‘Inovasi dan Transformasi dalam Ekonomi Islam’, forum itu akan menampilkan ucaptama oleh pemimpin Dunia Islam, sesi pleno, bengkel dan majlis anugerah.
Penganjuran forum tersebut juga bertujuan merapatkan hubungan perniagaan dunia Islam dengan menjalinkan hubungan perniagaan dan perkongsian dengan lebih kukuh di seluruh dunia.
Ia juga bertujuan untuk menggalakkan inisiatif dan program berorientasikan hasil berasaskan nilai untuk impak sosial dan ekonomi bagi pembasmian kemiskinan, dan promosi keusahawanan sosial dan usaha perniagaan.
Sehubungan itu Awang Tengah memberi keyakinan bahawa, Sarawak komited menjadi peneraju serantau dalam inovasi dan ekonomi yang dipacu teknologi sekali gus menawarkan banyak peluang dalam perniagaan dan perdagangan.
“Sarawak kini juga mempromosikan ekonomi digital dan hijau, memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian penyahkarbonan seperti perdagangan karbon dan teknologi mitigasi dan penyesuaian iklim yang inovatif,” jelasnya.
Selain itu, Awang Tengah turut menjelaskan penganjuran forum itu mampu menyediakan platform untuk membincangkan isu berkaitan perkembangan terkini yang memberi kesan kepada ekonomi global, khususnya negara-negara Islam. –UTUSAN