PENYAKIT kencing manis atau dikenali sebagai diabetes dan saraf saling berkait rapat, manakala kaki merupakan anggota tubuh badan yang paling terkesan.
Apa yang membimbangkan, risiko berlakunya masalah pada kaki bagi mereka yang menghidap diabetes begitu tinggi dengan pelbagai komplikasi.
Pakar Perunding Kaki & Buku Lali dan Pakar Bedah Ortopedik, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Chua Yeok Pin berkata, kadar kandungan gula yang sangat tinggi dalam darah akan mendatangkan masalah pada organ dan juga saraf pesakit.
“Apabila saraf pada kaki seseorang rosak akibat diabetes, ia akan menyebabkan hilangnya rasa peka pada kaki walaupun terpijak batu atau paku.
“Pesakit tidak sedar biarpun kaki mereka cedera dan mengalami luka yang tidak sembuh. Keadaan ini berlaku apabila kandungan gula yang tinggi menyebabkan dinding pembuluh darah rosak dan keluar melalui dinding tersebut sehingga merosakkan saraf yang berada di sekeliling pembuluh darah,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Dr. Yeok Pin, apabila seseorang penghidap diabetes terkena komplikasi saraf ini, luka pesakit tersebut berisiko untuk sukar pulih disebabkan dua faktor.
“Pertama, kuman ‘sukakan’ darah yang manis. Ia meningkatkan risiko luka terkena jangkitan kuman.
“Faktor kedua, pesakit yang tidak mempunyai deria rasa (pada kaki) akan terpijak lagi di tempat luka yang sama sehingga menjadikan ia susah baik dan seterusnya kuman terus berada di kesan luka berkenaan,” jelasnya.
Bagaimanapun kata Dr. Yeok Pin, pesakit akan mengalami simptom awal sebelum berlaku kerosakan saraf pada kaki mereka.
“Petanda awal saraf rosak ialah rasa sakit yang melampau terutamanya pada waktu malam sehingga menyebabkan pesakit tidak boleh tidur. Ia akan menyerang kaki dahulu kemudian tangan dengan cara ‘stoking dan sarung tangan’,” ujarnya.
Ketika ditanya tentang rawatan, Dr. Yeok Pin berkata, biasanya pesakit akan diberikan preskripsi antibiotik selepas menjalankan beberapa prosedur tertentu.
“Apabila ada luka, pesakit perlu segera pergi ke hospital dan mencuci tempat yang cedera. Jangan biarkan ia merebak sehingga ke kawasan tendon. Kemudian barulah pesakit akan diberikan antibiotik,” terangnya.
Dalam perkembangan lain, Dr. Yeok Pin berkata, pesakit perlu mengambil beberapa langkah awal sekiranya mengalami masalah saraf pada kaki akibat diabetes.
“Kita perlu mendidik pesakit untuk menjaga kesihatan kaki bagi mengelakkan luka berulang kerana kita dapati ramai pesakit yang tidak jaga kaki sendiri dengan baik.
“Ada beberapa kaedah yang boleh diikuti. Antaranya, pesakit perlu memotong kuku dengan lurus dan bukannya melengkung kerana ia berisiko menjadi cagu apabila kuku menekan isi jari kaki. Selain itu pesakit juga perlu memilih saiz kasut yang tepat. Beli pada waktu awal malam kerana saiz kaki pada waktu tersebut telah kembang sepenuhnya. Ia dapat mengelakkan kaki memakai kasut yang ketat,” jelas Dr. Yeok Pin.
Bagi Pakar Perunding Endokrinologi, Dr. Alexander Tan Tong Boon, kerosakan saraf akibat penyakit diabetes (neuropati periferal) berpunca daripada kadar gula yang tinggi sehingga menyebabkan ia bukan sahaja merosakkan saraf kaki tetapi juga bahagian tubuh lain.
“Paling penting pesakit harus tahu berapa paras gula dalam darah mereka. Sekiranya terlalu tinggi, makan ubat mengikut aturan doktor dengan konsisten. Jaga pemakanan dan jangan makan terlalu banyak karbohidrat.
“Selain itu, seseorang itu juga perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat. Apa yang paling penting pantau paras gula setiap tiga bulan. Pastikan kadar bacaannya terkawal mengikut paras HbA1C.
“Biasanya apabila seseorang itu makan, paras gulanya akan naik dan kadar tersebut boleh turun sekiranya dia berpuasa. Jadi dalam tempoh setiap tiga bulan, sekiranya paras gula melebihi 6.5, maka pesakit perlulah berjumpa dengan doktor,” ujarnya.
Tambah Dr. Alexander Tan, masalah kerosakan saraf lebih cenderung terjadi kepada mereka yang telah lama menghidap diabetes, selain beberapa faktor lain.
“Sekiranya pesakit tersebut mengalami obesiti, menghidap kencing manis dalam tempoh yang lama dan tidak mengawal paras gula, risiko kerosakan saraf juga semakin tinggi,” hurainya. – MINGGUAN