Sang Penyu mara ke pentas akhir Piala Malaysia - Utusan Malaysia

Sang Penyu mara ke pentas akhir Piala Malaysia

IVAN Mamut menyempurnakan sepakan penalti untuk Terengganu FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Penyerang import, Ivan Mamut muncul wira Terengganu FC (TFC) selepas meledak dua gol untuk mengatasi KL City FC 2-1 sekaligus mara ke pentas akhir Piala Malaysia.

Kemenangan secara agregat 4-2 itu membolehkan Sang Penyu membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga merupakan ulangan final Piala FA tahun lalu.

Tuan rumah bagaimanapun cemas seawal minit pertama apabila bola hantaran Declan Lambert yang dikeluarkan Shahrul Nizam Roshasni menuju gawang sendiri mujur ianya tinggi melepasi sasaran.

TFC kemudian mula mengatur gerak minit kesembilan menyaksikan percubaan Liridon Krasniqi dari luar kotak penalti hasil gerakan Sony Norde di sebelah kiri sekadar meleret ke sebelah tepi.

Peluang terbaik Sang Penyu hadir menerusi Mamut yang merampas bola daripada kawalan pemain KL City, Kamal Azizi Zabri sebelum mengumpan kepada Norde (m-13) namun dinafikan penjaga gol.

Tiga minit berselang giliran ketua pasukan TFC, Habib Haroon menguji Kevin Ray Mendoza di gawang pelawat tetapi rembatan derasnya ditepis keluar penjaga gol kebangsaan Filipina itu.

Gol dicari-cari tuan rumah menjelma minit ke-42 selepas Mamut bijak membuat pusingan melepasi kawalan pemain lawan dan melakukan sepakan leret menewaskan Mendoza.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu dikejutkan gol penyamaan KL City menyaksikan tandukan Romel Morales minit ke-51 berpunca hantaran Haqimi Azim Rosli mudah menemui sasaran.

Kedudukan berubah lagi pada minit ke-67 menyaksikan rembatan lencong Mamut dari dalam kotak penalti membawa TFC kembali memimpin permainan untuk mendahului 2-1 menuju penghujung aksi.

KL City berpeluang mengimbangi kedudukan hasil sepakan sudut Josue berjaya ditanduk kemas Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-73 malangnya sekadar menggegar palang.

KL City terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain gara-gara layangan kad kuning kedua ke atas Kenny Pallraj sebelum pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin menamatkan permainan.

Menanti TFC adalah JDT yang juga penampilan pertama Sang Penyu di pentas akhir Piala Malaysia sejak 2018 menyaksikan mereka tumpas kepada Perak menerusi penentuan penalti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya