GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan saman yang dikemukakan beliau terhadap Penasihat Eksekutif Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping adalah atas kapasiti antara dua individu.
Sehubungan itu, jelas beliau, tidak timbul isu sama ada tindakan saman tersebut akan mengaruhi atau menjejaskan hubungan serta kerjasama kerajaan negeri dengan persatuan perniagaan berkenaan.
“(Saman) ini merujuk kepada dua orang individu, bukan dilihat sebagai (antara) pemimpin kerajaan negeri dan juga persatuan berkenaan. Tapi antara dua individu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kon Yeow ditanya sama ada tindakan beliau yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Kok Ping akan menjejaskan hubungan kerajaan negeri dengan persatuan perniagaan itu yang disifatkan berpengaruh di negeri ini.
Terdahulu, Kon Yeow memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang memutuskan secara sebulat suara supaya beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap Kok Ping yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup PCCC.
Ia berikutan dakwaan kenyataan Kok Ping yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah beliau sebagai Ketua Menteri menerusi sidang akhbar berkenaan penjualan tanah di Byram, Batu Kawan.
Keputusan MMK itu dibuat berdasarkan liputan media yang memetik Kok Ping telah menggunakan perkataan-perkataan mengaibkan dan menjatuhkan maruah Kon Yeow.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau sudah menghantar notis saman tersebut kepada Kok Ping, Kon Yeow berkata, ia akan dilakukan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Ini kerana, jelas beliau, barisan peguamnya memerlukan masa untuk menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan sebelum dapat memulakan proses atau memulakan kes tersebut.
“Dalam beberapa minggu (hantar notis saman), sebab ia melibatkan penterjemahan apa yang dilaporkan, sebab apa yang dilaporkan dalam bahasa Cina dan urusan mahkamah dalam Bahasa Malaysia.
“Jadi peguam dan pembantu, mereka memerlukan masa untuk menterjemahkan apa yang dilaporkan dan ini akan ambil sedikit masa,” katanya. – UTUSAN