Saman Fitnah: Papagomo perlu masukkan kehadiran

Saman Fitnah: Papagomo perlu masukkan kehadiran

PAPAGOMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Blogger Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris perlu memasukkan kehadirannya berhubung kes saman fitnah oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil terhadapnya.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi ketika dihubungi media berkata, blogger tersebut yang dinamakan sebagai defendan perlu memasukkan kehadirannya dalam tempoh 14 hari yang akan berakhir 5 Disember ini.

Perkara itu ditetapkan pada pengurusan kes saman fitnah itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Aisyaf Falina Abdullah.

Dalam kes saman, individu yang disaman atau defendan dikehendaki memasukkan kehadiran (memorandum of appearance) samada secara sendiri atau melalui peguam sekiranya berhasrat untuk membela diri terhadap tindakan saman itu.

Selain itu, peguam terbabit memaklumkan saman tersebut disiarkan dalam akhbar susulan kepada perintah mahkamah yang membenarkan disampaikan kepada Wan Muhammad Azri secara penyampaian gantian.

Ia selepas saman itu tidak dapat diserahkan secara terus kepada Wan Muhammad Azri.

Mahkamah turut menetapkan 8 Disember ini untuk pengurusan kes lanjutan bagi mengetahui status sama ada defendan sudah memasukkan kehadiran atau sebaliknya.

Pada 5 September lalu, Fahmi memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri berhubung dakwaan berbaur fitnah kononnya menteri terbabit memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Turut disaman secara berasingan atas dakwaan serupa ialah penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani serta pemilik dan pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd. Fauzan Madzlan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Dakwa plaintif, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos manakala di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas.

Plaintif turut mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

Menurut plaintif, pihaknya menghantar surat tuntutan bagi ketiga-tiga individu itu menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun, sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.

Fahmi mendakwa tiga defendan itu masih mengekalkan kenyataan fitnah berkenaan dalam laman sosial mereka.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Plaintif juga menuntut agar tiga defendan itu membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui akaun laman sosial mereka dan semua media massa dan media atas talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN