MELEWATI garis masa pelakon cantik, Riena Diana, dahulunya dia seorang yang sangat berani. Mempamerkan kehidupan peribadi, penampilan seksi dan gaya hidup tanpa tapisan.
Padanya ketika itu, untuk apa dia berpura-pura. Orang tak suka? Lantakkan. Orang kecam? Silakan. Tidak sekelumit rasa gentar walau bertubi-tubi kata cacian yang diterimanya.
Dia tidak mahu menjadi plastik. Perlu menyorokkan siapa dirinya walaupun itu bakal memancing beribu kritikan dan kebencian. Dia tidak mahu menjadi pelakon dalam dunia realiti.
Namun lama-kelamaan dia mula takut hilang diri sendiri. Terlalu berkongsi sesuatu yang tidak seharusnya menjadi tatapan umum. Dia perlu ada privasi hidup, supaya tidak lupus ditelan perhatian.
“Dulu saya amalkan konsep, lantaklah. Kononnya seorang artis juga perlu ada kehidupan sendiri. Saya kena kongsi apa sahaja. Tidak kisah diperhatikan atau dinilai dengan kebencian.
“Tetapi satu ketika, saya mula rasa takut. Takut kehilangan diri sendiri. Semua benda diperhatikan. Pergi mana, orang ambil gambar. Macam hantar report. Ketika itu saya keliru, salah ke aku buat ini?
“Bila jumpa rakan artis senior, mereka nasihat ‘simpanlah kisah peribadimu’. Biarpun terpaksa jadi plastik, tak apa. Jangan terlalu berpegang kepada konsep lantak itu. Akhirnya akan makan diri,” ujarnya.
Menyedari hakikat hidup seorang selebriti ini adalah untuk umum, pelakon yang meledak menerusi watak Lailer dalam Kampung People ini mula mengatur langkah ke arah kehidupan yang lebih privasi.
Apatah lagi, apabila mula diperhatikan, ramai yang menjadikan anak seni sebagai ikutan dan idola. Sehingga pemakaian seksinya juga menjadi bahan bualan dan kritikan, bagaimana dia boleh menginspirasikan anak muda?
“Kadang-kadang saya berfikir, memang kita (selebriti) hidup untuk puaskan hati semua ke? Sampai kena memalsukan kehidupan. Tak boleh tunjuk semua. Perlu simpan untuk diri kita sendiri.
“Saya mula bercakap dengan diri sendiri, kau bukan tak boleh pakai seksi tetapi hidup kau perlu menjadi contoh. Lantas, berlakonlah dalam dunia media sosial sekali pun. Itu adalah hakikat sebenar.
“Saya pun jarang kongsi hal keluarga. Sekarang, putus cinta pun saya sorokkan. Sebab saya tak mahu buka ruang spekulasi dan tohmahan. Apa yang berlaku, biarlah rahsia,” kongsinya.
SAKITNYA PUTUS CINTA
Alang-alang gelanggang cerita putus cinta dibuka, sempat juga saya layangkan soalan tentang hubungan cintanya dengan seorang lelaki yang sebelum ini diketahui umum. Berakhirnya episod cinta?
Menyambut dengan tawa dahulu, wanita berusia 26 tahun ini mengambil nafas sebentar. Dia mungkin memerlukan masa menyusun ayat supaya tiada yang terluka. Mungkin juga tiada kisah lain yang termuntahkan.
“Sebenarnya, saya baru sahaja ‘bangkit’ dari fasa yang cukup memeritkan. Perpisahan itu membuatkan saya ‘hilang’. Sampai saya rasa hendak berhenti berlakon, lari daripada semua ini.
“Saya kunci diri, tak bercakap dengan sesiapa. Emosi ketika itu sangat tidak stabil sehingga saya hampir berjumpa dengan pakar psikiatri. Pernah terduduk sampai begitu sekali, cukup menyedihkan.
“Tetapi saya mula nekad cari kekuatan sendiri. Nasihat keluarga terutama nenek saya, rakan-rakan adalah tali saya berpaut untuk memanjat semula gunung impian. Saya tidak boleh kalah dengan perasaan,” katanya.
Apa yang paling menyedihkan bagi pelakon Nur itu adalah dia tidak hanya kehilangan cinta, tetapi rakan-rakan yang turut sama berarak meninggalkan dirinya ditemani kenangan dan cerita lalu.
Namun sinar yang terserlah saat awan mendung berarak adalah dia akhirnya buka mata melihat ramai sebenarnya insan sekeliling yang sedia bersama saat suka dan duka, tanpa mengharap balasan.
“Kalau kata sedih terduduk sebab putus cinta, ya saya hanya manusia biasa. Pastilah ada ketikanya saya rasa putus harapan juga. Tetapi lebih menyakitkan adalah kehilangan rakan-rakan juga.
“Yang mungkin sebelum ini berbaik, bertepuk tampar akhirnya berlalu pergi. Banyak juga cerita kurang manis saya dengar tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa. Apa yang berlaku, biarlah berlalu.
“Hidup perlu diteruskan. Saya punya kerjaya dan kehidupan. Saya tidak mahu mensia-siakan semua itu hanya kerana perasaan sedih yang menyelimuti hati. Semua itu akan beransur pergi nanti,” katanya.
IMPAK LAILER TERLALU KUAT
Tidak dinafikan sama sekali, populariti mula memeluk diri pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini apabila watak Lailer mencuri perhatian. Sejak itu, dia ibarat terbiasa dengan watak dan naskhah bergenre komedi.
Bukan tidak mahu lari daripada Lailer, namun bagi Riena sendiri, dia seperti belum bersedia dan takut untuk membawakan watak di luar zon selesanya. Ada persoalan dan keraguan yang merajai hatinya.
“Sebenarnya saya ada terima banyak tawaran naskhah berat tetapi saya sendiri belum bersedia. Bukan mahu terlalu bergantung kepada impak watak Lailer cuma entahlah, saya takut tak dapat beri yang terbaik.
“Mungkin buat masa ini, biarlah saya selesa dengan watak-watak sebegitu. Ada kebaikan dan keburukannya, saya tahu. Cuma macam mana kalau saya tak dapat bawa watak berat itu? Nanti orang cakap saya kayu.
“Saya perlu bersedia mental dan fizikal. Bila tiba masanya, saya akan masuk kelas lakonan semula. Belajar memberi emosi dan penjiwaan berbeza. Rasa belum cukup ilmu di dada untuk terima watak berat,” kongsinya.
Dalam pada masa yang sama, pelakon Dekatkan Jarak Kita ini juga mahu melebarkan sayap dalam dunia pengacaraan. Jiwanya lebih bebas apabila mengacara.
“Sebelum ini saya pernah jadi penyampai radio untuk dua tahun. Memang seronok sangat. Kalau dapat peluang buat lagi, memang saya takkan lepaskan.
“Mengacara ini beri saya nafas berbeza. Lebih bebas dan kena dengan karakter saya sendiri. Berlakon memang seronok, tetapi mengacara beri perasaan berbeza,” ujarnya. – MINGGUAN MALAYSIA