Rugi RM1.98 juta ditipu skim pelaburan forex

Rugi RM1.98 juta ditipu skim pelaburan forex

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gara-gara mahukan pulangan lumayan, tiga individu rugi RM1.98 juta setelah terpedaya dengan ‘upline’ mereka dalam skim pelaburan forex antarabangsa melalui sebuah laman web.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 49 hingga 65 tahun yang terpedaya dengan skim berkenaan yang menjanjikan pulangan lumayan dan jaminan wang asas di media sosial.

“Mangsa yang percaya dengan pelaburan itu telah berkomunikasi dengan penganjur program melalui aplikasi Zoom dan membuat pelaburan antara RM437,253 hingga RM864,303.

“Mereka hanya menyedari ditipu setelah masing-masing gagal mengeluarkan wang keuntungan yang dinyatakan manakala syarikat yang menganjurkan pelaburan itu juga gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya telah menerima sejumlah 13 laporan polis yang berkaitan kes penipuan sejak 1 November hingga semalam dengan kerugian direkodkan berjumlah RM3.3 juta.

“Laporan itu diterima daripada pengadu berusia antara 21 hingga 65 tahun, dengan jumlah pelaburan antara RM2,430 hingga RM864,303,” ujarnya.

Katanya, semua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat serta denda.

“Polis Johor menasihatkan orang awam sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat dan mereka yang menjadi mangsa penipuan boleh berhubung dengan National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN