ARAU: Isu pesawah terus mendapat perhatian Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman yang berusaha membantu menyelesaikan masalah itu khususnya berkaitan pengairan dan benih padi di negeri ini.
Semalam, beliau mengambil inisiatif bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali bagi membincangkan masalah yang membelenggu para petani di Perlis.
Dalam pertemuan itu, Rozabil yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri mengemukakan permohonan dari Komuniti Petani Arau (KKA) untuk perolehan pam bergerak dalam membantu petani-petani yang masih terperangkap dalam masalah air di bendang masing-masing.
“Saya menyuarakan keresahan para petani ini dan memohon agar pihak kementerian mengambil tindakan segera akan isu pengairan, padi benih dan harga lantai padi.
“Isu ini telah disuarakan beberapa unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kepada saya dan kali terakhir ketika perjumpaan bersama para pesawah di Lat 1000, Simpang Empat.
“Saya juga berbincang dengan Ketua Setiausaha kementerian mengenai beberapa inisiatif yang boleh diambil oleh pihak kementerian dalam meningkatkan pendapatan para petani di negeri Perlis.
“Insya-Allah, beliau bersetuju untuk hadir ke negeri Perlis dalam masa terdekat. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Ketua Setiausaha Kementerian kerana sudi menerima kehadiran saya dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau,” katanya.
Pada Mei lalu, UMNO Bahagian Arau mengambil pendekatan segera membantu menyediakan jengkaut bagi membersihkan kawasan sungai atau saliran yang tersumbat di sekitar Simpang Empat dan Sanglang di sini.
Perkembangan tersebut sekali gus melegakan kerisauan para pesawah di kawasan berkenaan yang masih tidak dapat mengusahakan tanaman padi ekoran masalah tersebut.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kira- kira 71,000 pesawah dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini dan Kedah berdepan kerugian sehingga RM40 juta jika terus lewat mengusahakan tanaman padi kesan daripada masalah kelewatan pembekalan benih yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Bagi keluasan satu hektar, pesawah terpaksa mengeluarkan kos tambahan mengusahakan tanaman padi sehingga RM400 dengan keseluruhan keluasan tanaman membabitkan Perlis dan Kedah ialah 100,000 hektar.
Masalah kelewatan benih padi itu juga bakal menyebabkan hasil merudum antara 30 sehingga 40 peratus dengan penggunaan air pula dijangka bertambah lebih 40 peratus.-UTUSAN