Rombakan Kabinet: Kenapa Januari bukan Disember? - Anwar

Rombakan Kabinet: Kenapa Januari bukan Disember? – Anwar

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengesahkan bahawa rombakan Kabinet akan dibuat pada Januari tahun depan.

“Kenapa Januari bukan Disember?” soalnya ringkas ketika ditemui selepas majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran Kerajaan Madani, di sini malam ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ramalan dibuat program podcast Keluar Sekejap semalam bahawa rombakan Kabinet mungkin berlaku pada Januari ini.

Menerusi edisi terbaharu Keluar Sekejap dua hari lalu, panel jemputan iaitu bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming mencadangkan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli antara 15 calon berkelayakan untuk memegang jawatan Menteri Kewangan II jika berlaku rombakan Kabinet.

Kian Ming berpendapat, senarai pilihannya itu adalah melihat kepada latar belakang mereka yang mempunyai pengalaman serta ilmu ekonomi dan kewangan.

Calon lain dicadangkan termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Selain itu, beliau juga mencadangkan beberapa tokoh korporat termasuk Penasihat Petronas, Tan Sri Hassan Marican dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Ditanya mengenai prestasi menteri Kabinet selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Anwar berkata, beliau yakin banyak perkara lagi yang boleh diperbaiki pada masa akan datang.

“Alhamdulillah kita sedaya upaya seluruh pasukan dan Insya-Allah kita akan baiki. Dan kekuatan baru ini kita akan lonjak lagi tinggi,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan membabitkan beberapa komponen parti utama di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya