GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu merampas rokok putih jenama Manchester tanpa cukai kastam dianggarkan bernilai lebih RM5 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres, di Jalan Choong Lye Hock, di sini.
Bagaimanapun, dalam operasi bermula 10 hingga 14 November itu, tiada tangkapan dijalankan memandangkan sepanjang risikan tiada kelibat pemilik premis atau individu di rumah berkenaan.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pada 10 November lalu, pihaknya melancarkan operasi kontraban sebelum berjaya mengesan sebuah rumah di Jalan Choong Lye Hock dua hari kemudiannya yang dipercayai dijadikan tempat simpanan rokok putih tanpa cukai.
“Pemerhatian selama 48 jam mendapati tidak ada orang yang hadir ke premis berkenaan.
“Seterusnya pada Selasa lalu kira-kira pukul 6 petang, polis membuat pemeriksaan ke atas rumah tersebut dan berjaya merampas 490 kotak berisi 24,500 karton bersamaan 4,900,000 batang rokok putih jenis Manchester dengan anggaran nilai RM5.12 juta termasuk cukai,” katanya dalam sidang akhbar di PPM Wilayah Satu, di sini hari ini.
Menurutnya, rokok-rokok itu ditemukan di dalam kotak berbalut plastik dan polis percaya diseludup masuk dari negara jiran ke negara ini menerusi jalan laut.
“Menerusi risikan sepanjang beberapa bulan, polis mendapati kemasukan rokok-rokok seludup ini adalah dengan menggunakan jalan laut.
”Penyeludup menggunakan vessel dan mereka akan memperlahankan kelajuan vessel di tengah laut.
“Kemudian rokok-rokok seludup ini akan dialihkan dari vessel dengan ‘feeder bot’ untuk masuk ke perairan Malaysia sama ada menerusi perairan Pantai Timur atau Pantai Barat,” katanya.
Tambah beliau, polis masih menjalankan siasatan berhubung pemilik premis berkenaan yang dipercayai disewa oleh penyeludup untuk dijadikan tempat simpanan sebelum beralih dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mengelak dikesan.
Dalam pada itu, katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN