KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D), Mimos Berhad (Mimos) untuk membangunkan Identiti Digital Nasional atau Digital ID.
Perdana Menteri berkata, peruntukan itu disegerakan kerana beliau tidak mahu negara ketinggalan dalam pembangunan transformasi digital.
“Kita agak ketinggalan dalam beberapa bidang padahal kita ada keupayaan, ada kemahiran dan kepakaran, jadi, ada keperluan segerakan peruntukan. Untuk mempercepatkan proses itu, kita segerakan dan melihat program pelaksanaan itu diawalkan.
“Saya mendapat jaminan bahawa ia dapat disegerakan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang dengan syarat kerajaan meluluskan peruntukan untuk membeli server scan. Jadi, saya dah minta Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri menyalurkan RM80 juta minggu depan,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi di Mimos Bhd. hari ini.
Jelasnya, beberapa kelulusan dan peraturan lain akan turut disegerakan sebelum akhir bulan ini.
“Pendaftaran ID Digital harus disegerakan. Minggu depan, semua kementerian dan jabatan kerajaan, Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah dan ketua jabatan harus memulakan pendaftaran.
“Kalau mahu peruntukan, subsidi bersasar atau kemudahan lain, sama ada jabatan atau pihak swasta, ia mesti bermula dengan pendaftaran ID Digital. Peruntukan yang besar RM80 juta, ini permulaan sahaja, akan ada peruntukan lain,” katanya.
Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.
Pengesahan individu secara digital ini bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara.
Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif ini kerana data, maklumat dan rekod penduduk berada di bawah jagaan dan bidang kuasanya.
Namun, ia tidak dianggap akan menggantikan MyKad sedia ada sebagai dokumen pengenalan diri, sebaliknya hanya memperkukuh keselamatan MyKad.
Dengan adanya Digital ID ini, semakan dan pengesahan individu warganegara yang mempunyai MyKad dapat dilaksanakan dengan mudah dan tepat.-UTUSAN