Resah anjing liar baham kucing, ancam kanak-kanak - Utusan Malaysia

Resah anjing liar baham kucing, ancam kanak-kanak

Anjing liar
ANTARA anjing liar yang berkeliaran di taman perumahan Elmina Green 3, Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 700 penduduk Elmina Green 3, Bandar Elmina di sini, resah dengan kehadiran anjing liar yang membaham haiwan lain terutama kucing sejak kebelakangan ini.

Terbaharu, tiga kucing termasuk peliharaan mereka mati akibat dibaham sehingga turut kehilangan kepala dalam tempoh kurang sebulan.

Keadaan itu mencetuskan kegelisahan kerana anjing berkenaan dikhuatiri turut mengancam keselamatan penduduk terutama kanak-kanak.

Penduduk, Ezmaliza Embok Zrik, 34, berkata kucing peliharaannya antara menjadi mangsa haiwan tersebut pada 6 November lalu.

“Saya hanya menyedari perkara itu apabila dimaklumkan jiran dan terkejut melihat kucing berkenaan mati dengan tiada kepala. Kelmarin (Isnin), seekor kucing jalanan turut ditemukan mati di halaman rumah penduduk dengan perutnya sudah terburai,” katanya ketika ditemui hari ini.

Justeru, ibu kepada dua anak itu memohon pihak berkuasa segera mengambil tindakan menangkap anjing berkenaan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sekumpulan anjing liat berkeliaran di perumahan itu dan melarikan diri ke pagar kawasan berkenaan selepas dihalau penduduk.

Bagi suri rumah, Nurul Hazah Zaidi, 40, hampir 10 ekor anjing itu kebiasaannya berkeliaran pada petang, malam dan awal pagi.

“Selain gangguan bunyi salakan, kehadiran haiwan itu menyebabkan taman permainan perumahan ini lengang kerana bimbang dikejar atau digigit. Arnab peliharaan saya juga menjadi mangsa selepas mati dibaham pada 19 Oktober lalu,” ujar ibu kepada enam anak itu.

Seorang lagi penduduk, Farizzamzam Nasruddin, 37, berkata anjing liar memasuki kawasan perumahan itu untuk menyelongkar tong sampah dan mencari makanan.

“Selain mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa, penduduk melakukan rondaan bagi menghalau haiwan itu namun masalah sama masih berlaku. Anjing itu ketika ini mungkin hanya memakan haiwan namun kita tidak mahu ada penduduk yang cedera digigit nanti,” jelasnya.

Tambah beliau, taman perumahan itu mula diduduki sejak Mei lalu dan jalan penyelesaian terbaik perlu diambil demi keselamatan penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya