TELUK INTAN: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu.
Laporan kehilangan Nurul Husna Adriana Mohd. Fazli itu dibuat ibunya pada 16 November lalu di Balai Polis Rungkup dekat sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, remaja itu kali terakhir dilihat keluarga pada pukul 7.30 pagi, 15 November lalu ketika dia keluar dari rumah untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di Sungai Sumun.
Katanya, selepas sesi persekolahan pada pukul 1.20 petang, remaja itu dipercayai telah mengikut teman lelakinya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 bernombor pendaftaran AND 5875.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai lokasi remaja itu berada boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Khairul Nizam Osman di talian 013-5630471
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di talian 05-62992222,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN