Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahmad Zahid 18 Mac

Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahmad Zahid 18 Mac 2024

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 18 Mac depan.

Mahkamah turut menetapkan 29 Januari 2024 bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan  representasi Ahmad Zahid untuk menggugurkan rayuan pihak pendakwaan.

Kedua-dua tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Muhammad Noor Firdaus Rosli selepas pengurusan kes hari ini.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 26 September 2022 terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Ahmad Zahid  daripada semua pertuduhan.

Presiden UMNO itu didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Wang itu bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau juga didakwa atas 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu  atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SGD$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Dalam petisyen rayuan difailkan pada 29 Disember 2022, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN