PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Penerangan berhubung dengan Kad Perakuan Media Harakah Daily yang ditarik balik baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil berkata, beliau memaklumkan kepada Jabatan Penerangan untuk meneliti rayuan tersebut, namun masih belum menerima sembarang maklum balas terkini.
“Insya-Allah, saya akan bertemu dengan pengurusan dengan Jabatan Penerangan dan pada masa yang sama, saya difahamkan pihak Jabatan Penerangan juga sedang meneliti isu-isu berkenaan etika kewartawanan,” katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Customer Experience (CX) Summit di Sunway Resort Hotel di sini, semalam.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan Kad Perakuan Media wartawan daripada Harakah Daily ditarik balik Jabatan Penerangan.
Penarikan semula kad perakuan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan artikel yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlatar belakangkan bendera Israel.
Pada sesi sidang Dewan Rakyat semalam, Anwar Ibrahim bengang dengan tindakan Pas ekoran laporan organisasi media tersebut yang seperti mengaitkan beliau dengan Israel.
Menurut Anwar, tindakan tersebut adalah melampau kerana kerajaan pimpinannya menyokong perjuangan dan membantu rakyat Palestin.
Sehubungan itu,Fahmi Fadzil berkata, garis panduan etika kewartawanan yang digubal pada tahun 1989 dan digunakan untuk panduan membuat pelaporan dipertingkatkan lagi mengkut perkembangan semasa kini.
Justeru, beliau juga akan membawa perkara ini untuk dibincang bersama dengan Jabatan Penerangan, bagi mengutarakan apa shaja penambahbaikan terhadap garis panduan tersebut.-UTUSAN