PETALING JAYA: Satu rangka manusia dipercayai warga asing ditemukan kawasan belukar berhampiran sub stesen Tren Aliran Transit Ringan (LRT) Putra Height dekat sini semalam.
Penemuan rangka manusia yang masih lengkap berpakaian ditemukan oleh pekerja yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan sistem LRT kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, rangka berkenaan ditemukan selepas pekerja berkenaan selesai menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sistem LRT di stesen tersebut.
“Rangka manusia berkenaan ditemukan memakai baju t-shirt berwarna biru beserta singlet putih dan berseluar jeans panjang berwarna biru.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian seluar telah menemukan dompet milik individu berkenaan yang diletakkan di dalam poket hadapan seluar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, semakan lanjut menemukan dua keping kad pengenalan diri milik warga Indonesia.
Jelas beliau, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Riki Mandaguna berumur 40 tahun berasal dari Kota Samarinda, Kisaran, Indonesia.
“Turut ditemukan satu beg galas berwarna hitam mengandungi barang-barang keperluan diri seperti pakaian disyaki milik si mati bersebelahannya.
“Masa kejadian berkemungkinan berlaku di antara tiga hingga enam minggu dari tarikh rangka ditemukan,” jelasnya.
Tambah beliau, rangka manusia ini telah dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca kematiannya.
“Buat masa ini, kes ini diklasifikasikan dan disiasat sebagai sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Ruzaizi A Ghani di talian 017-6762338 atau menghubungi Balai Polis Putra Height di talian 03-5191374,” katanya. – UTUSAN