Ramasamy kalah saman, kena bayar Zakir lebih RM1 juta

Ramasamy kalah saman, kena bayar Zakir Naik lebih RM1 juta

DR. ZAKIR NAIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P. Ramasamy membayar lebih RM1 juta kepada penceramah bebas, Dr. Zakir Naik berhubung lima kenyataan memfitnah.

Ramasamy diperintahkan membayar saman itu dalam masa 30 hari bermula hari ini.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz  membuat keputusan itu setelah mendapati Zakir berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang didakwa dilemparkan bekas pemimpin DAP itu, empat tahun lalu.

Terdahulu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Zakir memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak dapat hadir kerana berada di Nigeria untuk majlis ceramah sehingga 5 November ini.

Justeru katanya, Zakir menghadiri prosiding ini secara dalam talian, iaitu menerusi aplikasi Zoom.

P. RAMASAMY diarahkan membayar RM1.52 juta kepada Dr. Zakir Naik berhubung lima kenyataan memfitnah terhadap penceramah bebas itu. – UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI

Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya ‘syaitan’ dalam laman Facebook.

Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi apa didakwanya sebagai pelarian dari India.

Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan, yang diterbitkan portal berita pada hari sama.

Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.

Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN