KEMAMAN: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor akan menggunakan tempoh kempen selama 14 hari yang bermula hari ini sepenuhnya, untuk menyantuni dan mendekati rakyat di Parlimen tersebut.
Raja Mohamed Affandi berkata, tempoh kempen yang singkat dengan pengundi Kemaman berjumlah 141,790 orang memberi cabaran buat dirinya dan lawannya, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
“Memang tempoh kempen ini memberi satu cabaran, bukan hanya untuk saya, tetapi juga ‘opponent’ sebab Parlimen ini mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pengundi yang ramai.
“Bagaimanapun, saya akan berusaha sebaiknya untuk bertemu pengundi dan jentera-jentera BN juga akan membantu menyantuni pengundi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Raja Mohamed Affandi berkata, sekiranya diberi mandat pada 2 Disember ini, beliau yakin dapat membawa ‘suara’ rakyat Kemaman di Parlimen.
“Saya yakin (jika menang) akan dapat bawa perubahan di Parlimen ini sebab di belakang kita ada kerajaan pusat yang mana saya lihat kerajaan Perpaduan ketika ini tiada cacat cela,” katanya. – UTUSAN