KUALA LUMPUR: Kurang daripada 24 jam, penyanyi, Alif Satar berjaya mendapat persetujuan kumpulan Raihan untuk menyertai mereka dalam konsert bersama Alif & The Locos bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito.
Menerusi konsert tersebut, kumpulan itu bakal mendedikasikan sebuah slot khas dengan kRaihan untuk memperingati kesusahan dan perjuangan saudara Islam di Palestin.
“Kami turut terkesan dengan apa yang berlaku di Palestin dan ingin menyumbang sesuatu buat mereka. Alhamdulillah, kurang dari 24 jam lalu kami baru mendapatkan persetujuan Raihan untuk sama-sama tampil dalam konsert ini.
“Ini adalah apa yang kami selaku para artis boleh lakukan untuk rakyat di sana. Kami sedar apa yang sedang berlaku dan ingin ajak pengunjung mengenang apa yang terjadi,” jelas Alif.
Alif Satar & The Locos ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media konsert tersebut baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Aliff meluahkan rasa teruja untuk tampil dalam satu konsert bersama Anggi dan berbesar hati bekerja dengan artis baru.
“Ini adalah zaman digital di mana artis menggunakan media sosial untuk mempromosikan hasil kerja mereka seperti Anggi dengan lagu popularnya, Tak Segampang Itu.
“Pada masa yang sama, kami juga tidak sabar untuk melihat bagaimana Anggi berinteraksi dengan peminat Malaysia semasa konsert nanti yang semestinya berbeza dengan di negaranya.
“Semoga konsert ini menjadi permulaan kerjasama antara Alif Satar & The Locos dan Anggi. Mana tahu kita boleh lakukan cross promotion di Indonesia pula,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur, Mutiara Optimum Sdn Bhd dan MND Sport & Event Sdn Bhd, Harith Daniel, berharap konsert ini dapat menggabungkan semangat muzik dari dua negara.
“A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito bukan hanya tentang Alif Satar & The Locos sahaja tapi saya melihat dalam konteks yang lebih besar apabila digabungkan dengan Anggi Marito.
“Ini adalah tentang silaturahim dua negara serumpun, tentang muzik menjadi jambatan kepada pengkarya untuk saling bertukar idea dan berkembang,” katanya.
Harga tiket boleh dibeli bermula RM198 sehingga RM475 menerusi talian 03-86050195 atau layari [email protected] di Myticket.asia.