Qabil tawan petak depan Motosikal Dunia MiniGP

Qabil tawan petak depan Motosikal Dunia MiniGP

QABIL IRFAN AZLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba cilik Malaysia, Qabil Irfan Azlan membuktikan dirinya antara bakat muda yang wajar diberi perhatian selepas menempah petak pertama pada sesi kelayakan ketiga perlumbaan Motosikal Dunia MiniGP bagi kelas 160cc di Valencia, Sepanyol, malam tadi.

Hanya berusia 11 tahun, Qabil mempamerkan prestasi mengagumkan setelah mencatat masa 44.166 saat (s) pada pusingan kelima daripada 15 pusingan kelayakan tersebut.

Berada di belakang Qabil, pelumba Sepanyol, Enzo Zaragoza yang melakar masa sepusingan 44.356s, manakala ketiga milik Ethan Sparks dari Austria setelah mencipta masa sepusingan 44.390s.

Kesemua pelumba yang menggunakan jentera O-Hvale akan merebut mahkota kejuaraan dalam perlumbaan sebenar, esok.

Qabil ketika ditemu bual selepas sesi kelayakan berakhir berkata, dia bersyukur berjaya menempah petak pertama dan kejayaan itu mungkin rezekinya untuk melangkah lebih jauh.

“Alhamdulilah mungkin ini rezeki saya tahun ini dan tidak sangka boleh duduk depan terima kasih kepada ayah dan krew yang selalu sokong saya.

“Daripada sesi latihan pertama lagi, saya cuba tingkatkan gaya tunggangan saya dan pasukan banyak membantu saya memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Qabil berjanji tidak mensia-siakan peluang yang dimilikinya itu dan berharap mampu melengkapkan perlumbaan di kedudukan teratas.

Seorang lagi pelumba negara, Airel Marzuki yang turut beraksi dalam kelas 160cc melengkapkan aksinya di luar kelompok 14 pelumba terbaik.

Ekoran keputusan tersebut, Airel terpaksa beraksi dalam saingan kelayakan perlumbaan 1 dan mujur dia berjaya mengungguli aksi untuk menempah laluan ke perlumbaan 1 dan 2, esok, mengiringi Qabil.

Sementara itu, dalam perlumbaan kelas 190cc, tiga pelumba Malaysia iaitu Farish Hafiy, Adi Putra dan Emil Idzhar masing-masing akan memulakan aksi di petak kesembilan (43.162s), ke-17 (43.643s) dan ke-18 (43.826s). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya