Qabil dinobat juara dunia MiniGP

Qabil dinobat juara dunia MiniGP

QABIL (tengah), Togashi (kiri) dan Zaragoza bersama trofi masing-masing selepas upacara penyampaian hadiah Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Valencia, Sepanyol, hari ini. - Ihsan ZK Racing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba cilik Malaysia, Qabil Irfan Azlan dinobatkan selaku juara dunia selepas menyapu bersih kesemua tiga perlumbaan pada Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Litar Ricardo Tormo, Valencia, hari ini.

Kejayaan itu juga menyaksikan Negaraku berkumandang tiga kali dan Jalur Gemilang dikibarkan di bumi Sepanyol.

Qabil menutup aksinya dengan pungutan 100 mata keseluruhan manakala pelumba Jepun, Kotaro Togashi di tempat kedua setelah mengumpul 76 mata manakala Enzo Zaragoza dari Sepanyol menghuni tangga ketiga dengan kutipan 65 mata.

Pelumba berusia 11 tahun itu mengungguli Perlumbaan 1 (14 pusingan) setelah dia mencatat 10 minit 24.656 saat (s) meninggalkan pencabar terdekat Zaragoza di tangga kedua (10:24.766s) dan Togashi di tempat ketiga (10:26.921s).

Qabil terus konsisten apabila memenangi Perlumbaan 2 (14 pusingan) dengan lakaran masa 10:26.086s manakala Togashi berpuas hati sebagai naib juara (10:26.282s) dan pencabar dari Austria, Ethan Sparks di tangga ketiga (10:26.558s).

Dalam aksi penentuan gelaran dunia, Qabil melengkapkan persembahan cemerlangnya pada Super Final apabila dia mencipta masa terpantas 14:08.764s dalam perlumbaan 19 pusingan itu.

Menamatkan aksi di kedudukan kedua serta ketiga adalah Togashi dan Zaragoza setelah masing-masing mencatat masa 14:10.057s dan 14:10.289s.

Pencapaian mengagumkan Qabil itu jauh mengatasi keputusan yang dicatatnya pada musim lalu setelah melengkapkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan.

Apa yang lebih manis hadiah kemenangan telah disampaikan oleh pelumba MotoGP, Johan Zarco dari pasukan Pramac Racing.

“Syukur saya dapat menjuarai pada perlumbaan final ini dan minggu ini agak mencabar bagi saya sejak dari sesi latihan bebas lagi sehinggalah ke hari perlumbaan dan alhamdulillah saya berjaya muncul juara, terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada saya.

“Terima kasih juga kepada Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia, Litar Antarabangsa Sepang dan ZK Racing,” katanya menerusi kiriman video oleh ZK Racing.

Kejuaraan siri dunia itu menghimpunkan pelumba terbaik dari Alpe Adria, Australia, Austria, Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Portugal, Qatar, Sepanyol, Amerika Syarikat dan United Kingdom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya