Putra bantah cadangan kerajaan laksana IDN

Putra bantah cadangan kerajaan laksana Identiti Digital Nasional

IBRAHIM ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menolak cadangan kerajaan untuk melaksanakan Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID kerana mendakwa ia akan mencerobohi privasi rakyat.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kajian secara mendalam wajib dibuat terlebih dahulu dengan mengambil kira semua aspek keselamatan, privasi rakyat, kos dan lain-lain sebelum ia dilaksanakan.

Menurut beliau, kerajaan perlu berhati-hati dan tidak tergopoh-gapah dalam pelaksanaan IDN kerana industri maklumat (IT) di dalam negara ini dikuasai oleh bangsa asing.

“Pelaksanaan IDN yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa menimbulkan kegelisahan rakyat. Banyak persoalan termasuk hal-hal keselamatan dan privasi peribadi masih belum terjawab dengan meyakinkan.

“Pasti pelaksanaan Digital IDN memang seperti durian runtuh kepada yang diberi pelaksanaan projek ini dan menyerah privasi peribadi setiap rakyat yang majoriti orang Melayu. Pengalaman-pengalaman sebelum ini amat terkesan terutamanya kepada orang Melayu.

“Jangankan untuk bangunkan sendiri aplikasi baru seperti ini, namun untuk baiki atau repair (baiki) pun tidak berdaya. Negara seperti Canada yang jauh lebih maju dari Malaysia secara tegas menolak pelaksanaan IDN atas sebab keselamatan dan privasi rakyatnya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pada 20 Oktober 2021, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan ingin melaksanakan IDN sepenuhnya pada tahun 2024.

Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, proses perancangan dan pelaksanaan inisiatif Digital ID oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah bermula sejak tahun 2021.

Beliau berkata, Digital ID menjadi suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, masalah penipuan siber atau scam kini masih tidak dapat dibendung dan sekiranya IDN dilaksanakan, kemungkinan besar akan mengundang satu lagi jenayah digital bentuk baharu.

“IDN adalah merupakan satu ‘rantai ghaib’ yang dipasang ke atas badan seseorang. Dengan kaedah teknologi kecerdasan buatan (AI) setiap pergerakan, citarasa, hatta pemikiran pemakai IDN adalah mudah dikawal seolah haiwan yang dirantai.

“Rekod-rekod rasmi peribadi seperti Mykad sudah memadai. Pelaksanaan IDN bukan sahaja menambah beban tugas kakitangan KDN, malah akan meningkat perbelanjaan kerajaan.

“Yang bakal mendapat laba dalam perojek pelaksanaan IDN adalah cukong-cukong atau kontraktor pembekal segala peralatan, bahan, software and hardware berkaitan,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya